Kekangan laksana tugas, Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan secara kekal

Kekangan laksana tugas, Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan secara kekal

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pasport antarabangsanya yang kini ditahan oleh Mahkamah Tinggi sebagai syarat jaminan tambahan, menjadi kekangan kepada beliau untuk melaksanakan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet.

Ahmad Zahid turut berkata, pasport antarabangsa diperlukan bagi membolehkan Jabatan Imigresen memproses permohonan beliau untuk mendapatkan pasport diplomatik bagi memudahkan perjalanan keluar dan masuk negara.

Sehubungan itu, beliau memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini agar pasport antarabangsanya yang ditahan sebagai syarat jaminan tambahan, dikembalikan kepada beliau secara kekal secepat mungkin.

Ahmad Zahid turut memohon perintah mahkamah agar penyerahan pasport sebagai syarat jaminan tambahan diketepikan manakala jumlah jaminan RM2 juta dikekalkan.

Pasportnya ditahan oleh mahkamah hampir lima tahun lalu berikutan pendakwaan terhadapnya berhubung pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi sejak 2018.

Dalam afidavit yang diikrarkannya bagi menyokong permohonan tersebut, Ahmad Zahid menyatakan, beliau tidak mempunyai akses terhadap pasport tersebut sehingga menghalangnya melaksanakan tugas sebagai Menteri Kabinet.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada 2 Disember 2022 dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas tamat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Zahid selanjutnya menyatakan, beliau menerima mandat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilkan beliau dalam beberapa urusan pentadbiran negara.

“Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dan tugasan selaku Timbalan Perdana Menteri, saya dikehendaki berada di dalam dan di luar negara yang mana saya percaya perkara tersebut memerlukan pasport berada dalam pegangan saya sendiri.

“Saya tidak berniat melarikan diri atau tidak menghadirkan diri pada prosiding mahkamah kerana saya masih lagi berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan bergiat aktif dalam bidang politik di Malaysia serta ahli keluarga saya kesemuanya berada di sini,” ujarnya.

Menurut Ahmad Zahid, permohonan itu sekali gus dapat mengurangkan jumlah permohonan pelepasan pasport sementara kepada pihak mahkamah setiap kali beliau perlu melaksanakan tugas rasmi ke luar negara.

Ahmad Zahid turut mengikrarkan bahawa permohonan itu tidak berniat jahat atau memprejudiskan mana-mana pihak selain memberi aku janji untuk tetap memberikan kerjasama penuh menyelesaikan perbicaraan yang kini di peringkat pembelaan.

Ahmad Zahid memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi melalui Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq pada 20 Januari lalu.

Timbalan Perdana Menteri turut memfailkan perakuan segera agar permohonan itu didengar dan diputuskan secepat mungkin. Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nurul Aini Hamzah yang turut dihadiri oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob bagi pihak pendakwaan manakala peguam Nabihah Meor Azli mewakili Ahmad Zahid.

Mahkamah menetapkan 3 Februari ini untuk satu lagi pengurusan kes. Pada 16 Januari lalu, Ahmad Zahid muncul kali pertama di Mahkamah Tinggi di sini selepas bergelar Timbalan Perdana Menteri bagi menghadapi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Kali terakhir Presiden UMNO hadir prosiding perbicaraan di ibu negara ialah pada 22 November 2022 pada peringkat pembelaan sebelum kes ditangguhkan ke hari tersebut. Ketika kes disebut di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, mahkamah menetapkan perbicaraan didengar selama 27 hari dalam tempoh lima bulan berturut-turut bermula April hingga Ogos ini.

Tarikh-tarikh itu ialah pada 10 hingga 13 April, 15 hingga 18 Mei, 12 hingga 15 Jun, 24 hingga 27 Julai manakala tarikh-tarikh bulan Ogos ialah pada 1 hingga 3, 7 hingga 10 dan 21 hingga 24.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016. Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya