PETALING JAYA: Status Sabah dan Sarawak perlu kekal sebagai ‘negeri’ seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kerana pewartaan sebagai ‘wilayah’ dikhuatiri mengundang masalah lebih besar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perubahan status itu melibatkan pindaan dalam Perlembagaan bagi menjelaskan kedudukan Sabah dan Sarawak sama seperti Wilayah Persekutuan Labuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Katanya, adalah lebih baik untuk kerajaan menyelesaikan perkara utama dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memulangkan kuasa dan hak yang sepatutnya diperoleh Sabah dan Sarawak sejak sekian lama.
“Adakah status atau kedudukan Sabah Sarawak sebagai wilayah ini naik ataupun turun? Kita ada wilayah yang kecil iaitu Kuala Lumpur, selepas itu buka lagi wilayah Labuan. Jadi, kalau mahu gubal Perlembagaan, di mana letaknya Sabah dan Sarawak ini sebagai wilayah? Mesti bezakan antara semua ini.
“Tuntutan Sabah dan Sarawak sudah jelas di dalam Perlembagaan dan MA63. Jadi, sebutlah apa pun namanya untuk Sabah, Sarawak, mahu guna cakerawalakah, duniakah, apa yang kita dapat sama sahaja. Sebab itu penukaran status hanya merumitkan keadaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bekas Ahli Parlimen Santubong itu berpendapat, penukaran status wilayah tidak akan mengubah ‘sifat’ sedia ada untuk kedua-dua negeri berkenaan.
Kata Wan Junaidi, sekiranya kerajaan tetap mahu menukar status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah sama seperti Labuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya, ia bukan entiti yang diiktiraf dari segi undang-undang di peringkat antarabangsa.
“Kena faham apa itu wilayah? Ia boleh menjadi sekecil-kecil Labuan dan boleh menjadi sebesar-besar India. Jadi, di mana kerajaan mahu letakkan Sabah dan Sarawak ini sebagai wilayah yang baharu,” katanya.
Semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Sarawak baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, pewartaan Sabah dan Sarawak secara rasmi sebagai wilayah akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu.
Kabinet terdahulu meminda Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Negeri Tanah Melayu iaitu Johor; Kedah; Kelantan; Melaka; Negeri Sembilan; Pahang; Perak; Perlis; Pulau Pinang; Selangor dan Terengganu manakala Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.
Pindaan itu dibuat bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia. – UTUSAN









