‘Kalau kita bertapuk, pilihan rayalah’-PH Sabah

‘Kalau kita bertapuk, pilihan rayalah’-PH Sabah

PHOONG Jin Zhe (tengah) dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (dua kiri) semasa taklimat di Wisma Kewangan di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah menepis dakwaan sokongan yang diberikan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dilakukan kerana tamakkan jawatan.

Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, pada awalnya PH Sabah tidak mahu masuk campur dalam pergolakan politik yang berlaku. Malah, bukan PH yang memulakan pergolakan ini.

“Kita perlu main peranan, kita sebenarnya dipaksa buat keputusan dan inilah keputusan kita (sokong Hajiji). Kita tidak boleh bertapuk (bersembunyi), kalau kita bertapuk maka, pilihan rayalah.

“Kedua-dua pihak tidak ada majoriti mudah di Dewan Undangan Negeri (DUN). Dalam situasi itu, Kabinet tergantung, DUN tergantung sebab tiada sokongan tujuh ADUN PH. Jadi, kita dipaksa buat keputusan.

“Tapi, kalau ada orang cakap kita gila kuasa mahu jadi menteri, sepatutnya tanpa semula dengan mereka yang memulakan Langkah Kinabalu. Mereka yang gila kuasa, bukan kita,” katanya selepas taklimat Kementerian Pembangunan Perindustrian di Wisma Kewangan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang dakwaan ADUN PH ditawarkan habuan untuk menyokong Hajiji supaya kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Menteri Pembangunan Perindustrian itu berkata, ADUN PH memberi sokongan kepada Hajiji kerana mahu stabilkan politik Sabah dan bukannya minta diberikan jawatan.

Menurut Jin Zhe, semasa pergolakan berlaku, PH memainkan peranan bagi menentukan siapa yang menang. Sejak dari awal lagi, PH Sabah menyatakan tidak menyokong mana-mana pihak sama ada Hajiji mahupun Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal atau Datuk Seri Bung Moktar.

“Sebenarnya dua-dua pihak ada beri saya draf akuan bersumpah (SD) tapi, kita tidak layan sebab prinsip kita. Malah, kita tidak menyokong rancangan menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang, melalui ‘SD Game’.

“Pada 2020, PH adalah mangsa Langkah Sheraton, kerajaan PH digulingkan melalui ‘SD Game’. Jadi, kita tidak mahu libatkan diri dalam benda yang sama dalam Langkah Sutera atau Langkah Kinabalu,” katanya.

ADUN Luyang itu berkata, jika ada pihak ingin mengulingkan kerajaan maka, ia harus dilakukan melalui sistem berparlimen iaitu bentang usul undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri di DUN Sabah mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

Tambah beliau, keabsahan Hajiji sebagai Ketua Menteri tidak harus ditentukan melalui SD sebaliknya perlu disahkan melalui DUN seperti prinsip demokrasi berparlimen.

Malah, semasa sidang khas DUN pada Selasa jelas membuktikan Hajiji memperoleh sokongan 44 ADUN.

“Dengan ketidakhadiran 35 ADUN dari pihak sana, kita dapat lihat dua Rang Undang-Undang (RUU) berjaya diluluskan dengan sokongan 44 ADUN. Jadi, ini cukup jelas. Kalau nak pertikai keabsahan itu dengan cara lain, itu mungkin istilah atau retorik mereka,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya