Jambatan gantung rosak akibat banjir kini terbiar - Utusan Malaysia

Jambatan gantung rosak akibat banjir kini terbiar

JAMBATAN gantung Kampung Mambang Berulang, Mentakab di Temerloh, Pahang yang rosak teruk akibat banjir pada Disember 2021 kini terbiar dan ditumbuhi pokok menyukarkan penduduk menjalankan aktiviti harian. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kira-kira 500 penduduk Kampung Mambang Berulang dan Kampung Sungai Dingin, Mentakab di sini kecewa jambatan gantung merentas Sungai Semantan yang rosak teruk dilanda banjir besar Di­sember 2021 masih terbiar begitu sahaja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Marto Marijo, 60, berkata, lebih mengecewakan jambatan gantung di Kampung Mambang Berulang itu kini sudah ditumbuhi pokok setelah sekian lama ‘menunggu janji’ bagi membaik pulih kemudahan itu.

“Masalah dihadapi penduduk seakan-akan tiada penghujung berikutan jambatan gantung yang menjadi laluan utama penduduk terbiar begitu sahaja.

“Pelik tapi benar kemudahan diterima kelas kedua walaupun lokasi kampung ini hanya kira-kira dua kilometer dari Bandar Mentakab yang hanya dipisahkan Sungai Semantan sejak zaman berzaman,” katanya di sini semalam.

Marto berharap wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu di Parlimen Temerloh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab membuktikan kepimpinan mereka cakna dengan permasalahan rakyat.

Ini kerana tegasnya, penduduk begitu bergantung kepada jambatan gantung untuk keluar ke bandar Mentakab dalam masa lima minit dan Temerloh tetapi rosak akibat banjir tanpa dibaiki.

“Walaupun ada janji kerajaan untuk membaiki atau mengganti dengan jambatan konkrit yang memerlukan kos RM3 juta ke RM4 juta tetapi sehingga ini tiada hujung pangkal,” katanya.

Beliau berharap peruntukan yang diluluskan Kerajaan Pusat tahun lalu sebanyak RM400 juta untuk tebatan banjir di Menta­kab dan Temerloh dapat dite­ruskan Kerajaan Perpaduan.

Penduduk Kampung Su­ngai Dingin, Alias Samah, 60, berkata, kedudukan kedua-dua kampung tersebut begitu strategik dibangunkan sebagai lokasi ekopelancongan di daerah ini.

Ini kerana jelasnya, Sungai Semantan yang menjadi laluan pedagang dan pahlawan Semantan Tok Bahaman zaman silam boleh diangkat sebagai aktiviti pelancongan bot persiaran dan memancing ikan.

Tambah beliau, bagi membangunkan Kampung Mambang Berulang dan Sungai Dingin, ia boleh dilakukan dengan membina jambatan konkrit yang selari dengan kemajuan negara.

Katanya, pihak Majlis Daerah Temerloh dan perancang bandar harus turun padang melihat potensi kampung itu untuk diba­ngunkan sebagai lokasi pelancong budaya dan alam semula jadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya