PETALING JAYA: Pelakon, Zahiril Adzim meluahkan dirinya mahu mengubah tabiat ketagihan minum kopi secara berlebihan ekoran bimbang dengan tahap kesihatannya.
Tidak mendedahkan penyakit yang dialami, Zahiril nekad berbuat demikian atas nasihat isterinya, Shera Aiyob dan doktor.
“Aku sebelum ini sejenis celik mata saja kopi dulu. Tapi nak ubah tabiat ini sebab isteri sudah tegur, doktor pun sudah tegur.
“Takut malaikat maut pula yang tegur. Ketika itu apa pun sudah tidak sempat,” katanya di Threads.
Dalam hantaran sama, pelakon drama Aku Bukan Ustazah itu turut meminta pendapat warganet mengenai waktu paling ideal untuk pengambilan kafein dalam sehari.
“Kalau bangun sekitar 5 hingga 6 pagi, kortisol kita tengah tinggi bukan? Kemudian seawal jam berapa yang sebaik-baiknya untuk pengambilan kafein?,” soalnya.
Terdahulu, menerusi sebuah hantaran di Threads Zahiril berkongsi simptom kesihatan yang membimbangkan apabila dirinya mengalami sesak dada, sesak nafas, rasa gementar, degupan jantung laju dan tangan menggigil.
Perkongsian tersebut secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminatnya yang turut menyarankan aktor tersebut menjalani pemeriksaan kesihatan.
Bagaimanapun, Zahiril telah memadam perkongsian tersebut selepas beberapa jam dimuat naiknya.










