Isu kesesakan kaunter passport: 20 pejabat dibuka Sabtu, Ahad

Isu kesesakan kaunter passport: 20 pejabat dibuka Sabtu, Ahad

SAIFUDDIN Nasution Ismail meluangkan masa bersama pegawai JIM selepas merasmikan Pejabat Pasport KLIA di Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR/PEMBERITA - AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bakal mengoperasikan sejumlah 20 buah pejabat pengeluar pasport terpilih di Semenanjung Malaysia pada setiap Sabtu dan Ahad mulai 28 Januari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia sebagai langkah segera bagi mengatasi kesesakan teruk kaunter dokumen berkenaan sebagaimana keluhan rakyat yang akan beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 12.30 tengah hari dengan boleh datang terus ke kaunter sama ada untuk permohonan baharu atau pembaharuan.

Pejabat terpilih itu Putrajaya selain Jalan Duta dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur; Shah Alam, Kajang, Kelana Jaya, Puchong, Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang, Selangor.

Tempat-tempat lain pula meliputi pejabat JIM di Johor, Pulau Pinang, Melaka, Perak dan Kedah yang ditentukan berdasarkan rekod data aliran permohonan pasport selama ini.

Beliau berkata, sepanjang tahun lepas, berlaku lonjakan 25 peratus pengeluaran pasport iaitu kepada 2,574,435 naskhah berbanding tahun 2021 lalu, manakala sejumlah 210,000 naskhah setiap bulan atau kira-kira 10,000 naskhah pasport di seluruh negara pada 2022.

Terdahulu, beliau yang diiringi oleh Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud merasmikan Pejabat Pasport Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini yang merupakan projek perintis mula beroperasi sejak 16 Disember tahun lalu untuk mengurangkan kesesakan di beberapa pejabat pengeluar pasport JIM berdekatan.

Premis tersebut memberi manfaat kepada lebih 3.4 juta penduduk setempat di Daerah Sepang dan Kuala Langat, Selangor serta Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pejabat Pasport KLIA itu turut ditempatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan mereka yang berada di KLIA boleh membuat terus dokumen pengenalan sementara bagi kad pengenalan.

Agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri itu juga menyediakan perkhidmatan cabutan sijil kelahiran untuk kanak-kanak membuat pasport jika terlupa dibawa atau kes hilang.

Saifuddin Nasution malah optimis, jika projek rintis itu berjaya, pejabat sedemikian akan dibuka pula berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.

Isu kesesakan serius di semua pejabat pasport JIM mula berlaku tahun lalu apabila pintu sempadan negara dibuka pada 1 April 2022 susulan peralihan ke fasa pandemik Covid-19.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa bilangan pejabat terpilih itu boleh ditambah berdasarkan keperluan semasa dan bilangan petugas JIM yang mencukupi.

Masyarakat juga katanya, digalakkan untuk membuat permohonan pasport secara talian terutamanya jika mahu berurusan di kaunter pada hari-hari bekerja di seluruh negara dengan merekodkan kira-kira 45 peratus permohonan atas talian diterima. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya