Isteri terlantar sakit, Tahun Baharu Cina tidak semeriah dulu

Isteri terlantar sakit, Tahun Baharu Cina tidak semeriah dulu

SOO King Fook (kiri) gigih menjaga Yap Yit Moi yang terlantar sakit akibat kecederaan otak sejak hampir dua tahun lalu di kediaman mereka di Taman Saujana Indah, Bukit Katil, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sambutan Tahun Baharu Cina tidak lagi semeriah dahulu buat Soo King Fook, 58, selepas isterinya terlantar sakit akibat kecederaan otak, sejak dua tahun lalu.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, keadaan isterinya, Yap Yit Moi, 56, sangat lemah dan hanya terbaring di atas katil sepanjang masa tanpa mampu menguruskan diri sendiri.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi pada Mei 2021 selepas isterinya mengadu sakit kepala dan pengsan secara tiba-tiba.

“Saya ingatkan hanya sakit kepala biasa, tetapi doktor mengesahkan isteri mengalami masalah kecederaan otak. Dia memang ada sejarah penyakit darah tinggi tetapi masih terkawal dan selalu mengambil ubat mengikut nasihat doktor.

“Disebabkan itu saya tidak membuat persiapan menyambut Tahun Baharu Cina kerana isteri masih lagi sakit. Jika dulu isteri yang akan mengemas rumah dan menyediakan juadah untuk ahli keluarga dan adik-beradik yang lain.

“Tetapi melihat keadaannya sekarang membuatkan saya rasa susah hati serta tiada lagi keinginan untuk sambutan secara besar-besaran. Lagi pun bapa saya baru sahaja meninggal dunia dan mengikut adat, tiada sambutan perayaan akan diraikan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Saujana Indah di sini, semalam.

Terdahulu, King Fook menerima lawatan Skuad Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka yang menyampaikan sumbangan alat pemulihan, selain isterinya layak menerima pencen ilat sebanyak RM2448.33 sebulan.

Tambah King Fook, walaupun isterinya tidak mampu bergerak dan bercakap seperti dulu, dia dapat memahami perbualan dan memberikan respons menggunakan isyarat mata serta badan.

Katanya, keadaan emosi isterinya juga semakin baik kerana sudah dapat menerima hakikat mungkin tidak akan pulih seperti dulu.

“Pada peringkat awal, dia sering bersedih dan menangis kerana tidak dapat menerima takdir. Saya pujuk dengan beri kata-kata semangat, namun tidak sesekali memberinya harapan palsu. Apa yang doktor cakap pada saya, begitu juga saya sampaikan kepada dia. Sekarang dia semakin baik dan tabah meneruskan hidup disamping anak-anak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya