CAMERON HIGHLANDS: Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar kerajaan negeri menghentikan kelulusan tanah untuk projek-projek pertanian baharu di tanah tinggi di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden (Reach), A. Dilip Martin berkata, titah Yang di-Pertuan Agong itu merupakan keprihatinan dan kebimbangan baginda terhadap penerokaan tanah untuk pertanian tidak terkawal yang mungkin mengundang bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.
Menurutnya, sehubungan itu semua pihak terutama kerajaan negeri perlu mematuhi titah baginda.
“Reach sangat setuju dengan titah Tuanku supaya satu kajian dilakukan terhadap pemberian kelulusan tanah untuk pertanian di Cameron Highlands.
“Berdasarkan titah baginda sehingga baginda bertitah ‘enough is enough’ menunjukkan baginda sendiri amat bimbang terhadap penerokaan tanah di sini. Malah baginda mendapati pembukaan tanah di sini semakin bertambah keluasannya bukannya berkurangan, cukup-cukuplah dengan apa yang berlaku di Cameron Highlands,” katanya.
Dilip Martin berkata, titah Al-Sultan Abdullah tersebut bertepatan dengan usaha Reach yang memperjuangkan isu alam sekitar terutama pencerobohan tanah di Cameron Highlands.
Menurutnya, titah Baginda sudah tentunya membuka mata semua pihak agar bersama-sama menjaga Cameron Highlands.
“Reach sudah 21 tahun bersuara tentang isu penerokaan tanah di sini tetapi tak ada pihak yang memandang serius terhadap saranan dan usaha kami.
“Selepas baginda turun padang dan meninjau sendiri keadaan penerokaan tanah di sini, kerajaan negeri perlu bertindak segera. Reach amat menghormati titah Tuanku dan berharap semua pihak bersama-sama menjaga Cameron Highlands,” katanya.
Menurutnya, Reach sedia bekerjasama dengan mana-mana untuk menangani apa jua isu alam sekitar di sini terutama pencerobohan tanah.
“Kalau nak berjumpa kami, Reach terbuka. Kami sentiasa sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak demi Cameron Highlands,” katanya.
Ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Raja di sini pada Jumaat lalu, Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya kerajaan negeri menghentikan kelulusan tanah untuk projek-projek pertanian baharu di tanah tinggi di sini.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, ini kerana pembukaan kawasan baharu secara berlebihan dikhuatiri akan menyebabkan berlaku bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir.
Malah, titah baginda, semasa tinjauan di Kampung Bertam, Kampung Kerla termasuk Kampung Raja dan beberapa buah kampung lagi di sini, baginda mendapati projek-projek pertanian diperluaskan lagi.
Baginda menitahkan kerajaan negeri membuat kajian semula tentang projek-projek di tanah tinggi supaya kita berhati-hati dalam memberi kelulusan membuka tanah baharu. – UTUSAN










