Hati sudah tawar – Herman Tino - Utusan Malaysia

Hati sudah tawar – Herman Tino

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka penyanyi terkenal era 1980-an, Herman Tino atau nama sebenarnya, Masrun Tamsi pernah menyimpan hasrat untuk bergelar pelakon.

Namun, impian tersebut terpaksa dilupakan selepas sepupunya, seniman Allahyarham Haji Arshad menegur bunyi Jawa dalam pertuturan hariannya terlalu pekat sehingga susah diubah.

Menurut Herman, arwah adalah guru yang mengajarnya kaedah pertuturan yang betul, pembinaan karakter serta penampilan sebagai penghibur selepas pulang dari Singapura.

“Arwah saudara saya yang sangat rapat dan pernah mengajar imej dan penampilan diri pada 1973.

“Saya teringin jadi pelakon ketika itu, tetapi dia tidak mahu ambil sebab pelat Jawa saya terlalu kuat,” selorohnya.

Arwah Haji Arshad ialah pelakon yang sering membawa watak jahat atau antagonis dalam filem Melayu klasik dan bekerja di bawah syarikat produksi Cathay-Keris Film Productions.

Herman berkata, cita-citanya menjadi pelakon bagaimanapun, masih menebal sehingga sanggup mencuba nasib di RTM pada 1976.

Jelas penyanyi lagu Kupendam Biarpun Parah, dia sanggup pergi ke RTM semata-mata mahu mendapatkan tawaran berlakon daripada seorang penerbit.

“Saya datang ke RTM sebab mahu jadi pelakon, bukan penyanyi sehingga sanggup menghambakan diri pada seorang penerbit yang juga berketurunan Jawa.

“Saya ikut segala arahan dia seperti belikan ikan dan pergi ke sana sini. Namun, selepas itu saya marah sebab dia juga tidak mahu ambil saya berlakon dalam drama terbitannya dengan alasan pelat Jawa terlalu pekat,” katanya.

Bagaimanapun, bapa dua anak ini berkata, keadaan itu amat berbeza ketika dia menyanyi kerana kedengaran sempurna dan tidak pernah terkeluar pelat Jawa.

Rezekinya ternyata terarah pada bidang nyanyian, malah turut mencipta lebih 20 lagu dengan karya malar segar seperti Ojo Kesandung, Pelita Dalam Kabus dan Maharani.

Sepanjang menceburi bidang seni, Herman pernah merakamkan sembilan album, selain berduet dengan Zaleha Hamid dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini.

Herman yang mempunyai empat cucu masih gagah memenuhi undangan persembahan dan permintaan penganjur.

Selagi hayat dikandung badan, tiada istilah penat mahupun serik untuk menyanyi kerana seni suara sudah sebati dengan dirinya.

“Setiap minggu saya terima undangan persembahan untuk majlis perkahwinan. Saya akan terus menyanyi selagi orang suka. Setiap kali pergi persembahan, saya memandu sendiri kereta tanpa ditemani sesiapa,” katanya.

TAK SEMPAT AMBIL SRP

Herman yang berasal dari Tanjung Karang, Selangor merupakan suami kepada bekas penyampai radio RTM, Noraini Ibnu yang pernah meniti populariti dalam bidang penyiaran.

Kongsinya, isterinya pernah menjadi pengemudi acara sebanyak 11 kali semasa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Berkongsi tentang zaman persekolahan, Herman memberitahu, dia tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) disebabkan perintah darurat semasa peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

“Saya tinggalkan persekolahan dan memasuki dunia persilatan kerana heboh kononnya negara tidak aman. Akhirnya, saya jadi penyanyi kampung ketika usia 16 tahun sehingga sekarang,” katanya.

Setiap kejayaan yang dikecapi, sudah tentu ada individu di belakang tabir yang memandu ke arah itu. Begitu juga Herman yang pernah mencipta fenomena menerusi album Mengapa Dikenang Mengapa Difikir pada 1983 sehingga bertahan dalam carta lagu radio selama puluhan minggu.

“Guru saya dalam bidang nyanyian ialah AJ Ajmain yang merupakan seorang penerbit di RTM pada 1976. Dalam aspek pementasan dan penampilan, Haji Arshad banyak mendidik saya,” katanya.

MASIH MISTERI

Pada 1989, Herman pernah menggemparkan negara apabila sanggup berjalan kaki dari Rawang ke Ipoh, Perak untuk majlis pelancaran album Apa Dosaku sebagai protes terhadap keadaan semasa yang berlaku ketika itu.

Herman menjelaskan, alasan sebenar dia berbuat demikian bukan kerana isu protes cetak rompak mahupun agihan royalti sehingga ramai yang tersalah sangka niat sebenarnya.

Ditanya mengenainya, Herman masih nekad mengunci mulut dan enggan memberitahu perkara sebenar selagi belum tiba masa yang sesuai.

“Saya reda orang memperbodohkan tindakan saya berjalan kaki yang dikatakan gila publisiti. Sehingga sekarang, saya tidak mahu dedahkan lagi kenapa berjalan kaki ketika itu,” tegasnya.

Sehingga kini, motif sebenar Herman berjalan kaki selama tujuh hari sejauh 227 kilometer belum terjawab dan kekal misteri.

BUKAN KAKI BODEK

Herman ternyata merupakan penyanyi yang berpegang teguh pada prinsip hidup. Kejujuran menjadi nilai paling ampuh untuk kekal relevan dalam industri seni.

Baginya, sekiranya seseorang penyanyi itu berkualiti dan bagus, sudah tentu mereka akan dihargai mana-mana pihak.

“Saya bukan jenis kaki bodek media untuk membina nama sejak mula menyanyi. Apatah lagi, hendak mengemis tawaran stesen televisyen.

“Saya percaya, kalau kita bagus, tidak perlu hendak meminta-minta. Bakat kita akan tular dan disebut orang. Pasangkan nawaitu bekerja kerana Allah SWT dan itu yang saya pasak sejak dahulu lagi,” kongsinya.

Lebih mengejutkan, penyanyi ini tidak pernah mempunyai pengurus sepanjang kariernya sebagai penyanyi.

Sekalipun memenuhi undangan di Sabah dan Sarawak, Herman tidak pernah ditemani sesiapa dan lebih suka bergerak sendiri.

Sudah tentu apabila menguruskan kerjaya sendiri, ada aspek yang mungkin terlepas pandang sehingga Herman memberitahu, pernah menjadi mangsa penipuan penganjur.

“Saya pernah mendapat bayaran tidak cukup seperti yang dijanjikan penganjur. Saya tidak kisah ditipu sebab modal saya hanya suara. Saya halalkan sahaja apa yang berlaku dan tidak mahu runsing dengan perkara tersebut,” katanya.

Hampir tiga dekad berkecimpung sebagai anak seni, Herman sudah melalui jerih perih, onak duri mahupun zaman meledak populariti.

Menjengah usia 68, Herman mengakui, sudah tawar hati untuk menjadi terkenal seperti dahulu. Baginya, cukuplah kerana zaman itu sudah berlalu tanpa perlu dikenang lagi.

“Saya bukan penyanyi korporat, sebaliknya cuma penyanyi kebanyakan yang menghiburkan rakyat biasa. Hanya satu dipinta, jangan kenang saya lagi seperti dalam lirik lagu yang pernah dinyanyikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.