Harga getah jatuh, 500,000 penoreh terus hidup miskin

Harga getah jatuh, 500,000 penoreh terus hidup miskin

SEORANG penoreh termenung memikirkan kejatuhan mendadak harga getah antara RM2 ke RM2.30 sekilogram ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Isu melibatkan kira-kira 500,000 pekebun kecil getah seluruh negara seolah-olah dipandang sepi oleh kerajaan apabila mereka terus dibebani kemiskinan ekoran kejatuhan harga komoditi berkenaan.

Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) menerima rungutan daripada golongan itu yang merasakan nasib mereka boleh disifatkan sebagai ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Pekebun kecil getah mengharapkan harga getah naik melebihi RM3 sekilogram tetapi apa yang berlaku sebaliknya, ia jatuh mendadak antara RM2 ke RM2.30 sekilogram ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, penoreh dan pengusaha getah kini menghadapi masalah ekonomi yang begitu teruk ekoran kejatuhan harga komoditi itu sehingga RM2 sekilogram.

Beliau berkata, dengan kejatuhan harga yang begitu rendah sejak 2021 hingga kini, penoreh dan pengusaha getah terus mengalami nasib yang buruk ditambah keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

“Ekoran musim tengkujuh yang belum berakhir, pekebun kecil tidak dapat menoreh sekali gus terjejas pendapatan. Ada juga pekebun mengalami kerugian kerana banjir menghanyutkan cawan-cawan getah di kebun getah mereka.

“Sebelum ini, dengan harga yang rendah, mereka mampu menjana pendapatan RM700 sebulan, namun pada musim tengkujuh, pendapatan mereka jatuh sehingga paras bawah RM200 sehingga tiada duit untuk membeli barangan keperluan asas.

“Pada Oktober tahun lalu hingga kini, harga komoditi getah masih berada di paras RM2 hingga RM2.30 sekilogram dan ramai pekebun kecil tidak dapat menoreh kerana ketidaktentuan cuaca di musim tengkujuh,” katanya di sini semalam.

Mohd. Firdaus berkata, hasil kaji selidik YPNM, penoreh dan pengusaha getah cukup tertekan kerana sesi persekolahan sudah dibuka bulan ini yang memerlukan perbelanjaan besar bagi penyediaan anak-anak ke sekolah.

Beliau berkata, bebanan dialami mereka ditambah dengan kos sara hidup yang tinggi dan harga barangan makanan melambung tinggi.

“Penoreh dan pengusaha getah tambah tertekan dengan tibanya musim luruh dan menjurus kepada kekurangan hasil getah dan akan mengurangkan hasil pendapatan.

“Umat Islam akan menyambut Ramadan pada Mac ini dan seterusnya menyambut Aidilfitri pada April. Ini memberi banyak tekanan kepada mereka dengan situasi harga getah yang tidak menentu dan pendapatan yang tidak dapat diramalkan,” katanya.

Beliau berkata, YPNM menyeru kerajaan supaya tampil dengan pelan dan tindakan jangka panjang untuk melaksanakan pelbagai inisiatif serta bantuan termasuk menetapkan harga lantai RM3.50 sekilogram getah sekerap dan beku di peringkat ladang.

“Kerajaan perlu mengambil berat kebajikan 500,000 penoreh dan pengusaha getah di seluruh negara.

“Seperti sedia maklum, terdapat lima agensi kerajaan yang menjaga industri getah serta kebajikan, penoreh dan pengusaha getah di Malaysia. Agensi terbabit perlu tampil membantu golongan penoreh dan pekebun kecil getah yang amat tertekan dan memerlukan bantuan serta-merta untuk meneruskan kehidupan seharian,” katanya.

Sementara itu seorang penoreh, Mohd. Rozi Mohd. Sood, 65, berkata, cuaca yang tidak menentu ketika ini dan kerap hujan menyebabkan pokok getah basah dan dia cuma berpeluang menoreh menjelang tengah hari apabila cuaca panas.

“Minggu ini baru dua hari sahaja saya dapat menoreh ketika cuaca panas sedikit. Seksa sungguh hendak dapatkan wang lebih sedikit kerana harga getah masih di paras rendah antara RM2 hingga RM2.50.

“Macam mana kami hendak berbelanja keperluan dapur, membayar bil dan membeli ubat, hendak dapat RM10 sehari pun cukup seksa,” katanya.

Mohd. Rozi berharap kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menaikkan harga lantai komoditi itu melebihi RM3.50 sekilogram supaya penoreh agak sedikit selesa berbelanja keperluan harian.

“Saya berharap kerajaan dapat membuat sesuatu dengan menaikkan harga komoditi ini supaya jaminan kehidupan yang baik dalam kalangan pekebun dan penoreh getah pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN