PETALING JAYA: Peningkatan harga baja getah mendadak sehingga 200 peratus, mengakibatkan industri getah negara terjejas teruk sehingga mengurangkan pengeluaran getah sebanyak hampir 100,000 tan setahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Biro Penerangan, Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Amran Jaafar berkata, kenaikan baja itu mengakibatkan pekebun kecil tidak mampu membelinya, sehingga menjejaskan hasil pengeluaran kerana pokok getah tidak dibaja dan kurang nutrisi sehingga mengurangkan pengeluaran nasional.
Amran berkata, pada 2021, input pengeluaran getah negara berjumlah 470,000 tan bagi getah kering SMR20.

Namun, pada tahun lepas, didorong faktor kenaikan harga baja serta masalah lain dalam industri tanaman getah, pengeluaran getah negara menyusut kepada 380,000 tan metrik, iaitu penyusutan 90,000 tan.
Susulan itu, kata beliau, berdasarkan purata harga getah kering iaitu RM5.40 sekilogram, negara mengalami kerugian RM486 juta akibat penyusutan pengeluaran komoditi tersebut.
Katanya, peningkatan mendadak harga baja getah itu membabitkan semua jenis baja utama, termasuk baja Muriate of Potash (MOP), maja urea serta baja ammonium sulfat.
Malah jelasnya, kenaikan itu berterusan sehingga kini tanpa menunjukkan sebarang tanda penurunan.
“Sekarang kita lihat, kenaikan baja ini sewaktu Covid-19, baja jenis MOP, harganya naik sampai 400 peratus. Dulu sebelum Covid-19, harganya satu tan, RM1,000. Tapi semasa Covid-19 sampai sekarang, harganya naik sampai RM4,000 per tan.
“Sekarang, bila ada aduan dan semakan semula harga, ia menurun kepada kira-kira RM2,000 satu tan. Baja jenis urea pula naik 200 peratus, malah baja jenis ammonium sulfat juga naik 200 peratus. Harga semua jenis baja ini naik tak turun-turun sampai sekarang,” katanya sewaktu dihubungi, semalam.
Amran berkata, di pihak pekebun kecil, dalam tempoh tanam semula sehingga tahun kelima getah itu membesar, Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Kecil Getah (RISDA) memberi bantuan baja.
“Tapi, lepas lima tahun apabila pokok getah sudah matang, kos baja itu perlu ditanggung sepenuhnya oleh pekebun kecil. Satu hektar ada 500 pokok getah. Satu pokok memerlukan 10 kilogram baja setahun. Jadi, pekebun kecil memerlukan 5,000 kilogram atau lima tan baja setahun bagi kebun seluas satu hektar, atau kira-kira 50 beg baja.
“Cuma sebahagian kecil saja yang pokoknya lebih lima tahun, namun masih mendapat bantuan RISDA yang dipanggil Subsidi Input Pengeluaran Getah (SIPG),” katanya.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata, selepas pokok getah matang, pekebun kecil harus beli baja sendiri dari pihak luar yang harganya melambung tinggi tanpa ada kawalan yang menyeluruh.
“Inilah isunya, apabila kena beli baja sendiri, maklumlah apabila harga getah rendah, maka sukar bagi pekebun kecil membeli baja. Kesannya, pengeluran getah negara pun turun secara drastik. Malah, dari segi pengeluaran, tahun 2022 tak sampai 500,000 tan.
“Tahun 2021, pengeluaran getah kita berjumlah 470,000 tan metrik. Tapi 2022, cuma 380,000 tan saja. Bermakna, penyusutan 90,000 tan. Antara faktornya didorong oleh masalah peningkatan harga baja, selain masalah-masalah lain yang akan kita huraikan kemudian,” jelasnya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan keluh kesah pekebun kecil yang terpaksa berdepan harga kayu getah yang rendah, sejak larangan pengeksportankayu getah ke luar negara bagi tujuan pembuatan perabot dikuatkuasakan dan eksploitasi oleh pemain industri perabot tempatan.
Masalah itu mengakibatkan pekebun kecil industri getah kerugian kira-kira RM100 juta setiap tahun.
Dalam pada itu, Unit Komunikasi Korporat RISDA, dalam maklumbalas kepada akhbar ini semalam berkata, dalam soal penjualan kayu getah, urusan itu di bawah tanggungjawab pekebun kecil sendiri.
“Pembangunan Tanam semula Getah setiap tahun 80 peratus dilaksanakan oleh Pekebun Kecil Individu manakala 20 peratus dilaksanakan secara berkumpulan.
“RISDA terlibat secara langsung dalam pemberian bantuan tanam semula getah termasuklah input pertanian iaitu benih dan baja, manakala bagi urusan penjualan kayu getah adalah di bawah tanggungjawab pekebun kecil sendiri,” katanya. – UTUSAN










