Hani Suefyan sempat nikmati kari ayam air tangan ibu

Hani Suefyan sempat nikmati kari ayam air tangan ibu

JENAZAH Hani Suefyan Hanizam dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Waris Haji Sawil di Kampung Tasek, Gemereh, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Masakan kari ayam yang merupakan kegemaran mangsa lemas, Hani Suefyan Hanizam, 16, di Pantai Batu Layar, dekat sini kelmarin, menjadi hidangan terakhir disediakan ibunya kepada remaja itu.

Suhaili Mohd. Sidek, 45, berkata, dia tergerak hati memasak makanan kegemaran anaknya itu sebelum remaja tersebut keluar mandi di pantai berkenaan.

“Hani Suefyan ada memin­ta saya masakkan kari ayam kegemarannya beberapa jam sebelum kejadian itu. Sebagai seorang ibu, saya tidak sampai hati menolak permintaannya walaupun pada awalnya saya fikir elok disediakan masakan itu selepas dia pulang.

“Saya bertemu dia buat kali terakhir beberapa jam sebelum arwah ke rumah rakannya di sekitar Kluang sebelum bertolak ke Pantai Batu Layar di Kota Tinggi,” katanya ketika ditemui.

Dia dan suaminya, Hanizam Hashim, 47, reda dengan ketentuan ilahi namun tidak menyangka arwah menemui ajal dengan cara begitu bersama-sama seorang lagi rakannya.

Rakannya, Mohamad Imran Mohd. Nazir, 17, ditemukan lemas kelmarin manakala mayat Hani Suefyan ditemukan dalam keadaan terapung pukul 5.20 petang kelmarin.

Adik mangsa, Hani Lokman, 15, mengakui akan merindui abangnya terutama setiap kali mereka berkumpul di meja makan. “ Pemergiannya amat dirasai,” katanya dalam nada sebak.

Jenazah anak sulung daripada tiga beradik itu dibawa menaiki van jenazah ke Tanah Perkuburan Islam Waris Haji Sawil selepas solat jenazah di Masjid Gemereh dan selamat dikebumikan pada pukul 8.45 pagi semalam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya