KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dilihat tiba di Istana Negeri pada pagi ini.
Kenderaan membawa Hajiji memasuki pintu masuk Istana Seri Kinabalu pada pukul 9.35 pagi.
Kehadiran Ketua Menteri di Istana Negeri itu mengesahkan majlis angkat sumpah ahli Jemaah Kabinet Negeri yang baharu.
Majlis angkat sumpah itu dipercayai akan turut membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) yang akan menjadi sebahagian daripada anggota Kabinet baharu.
Rombakan Kabinet Negeri berlaku susulan tindakan sebahagian ADUN Barisan Nasional (BN) menarik sokongan daripada Hajiji Noor pada Jumaat lalu.
Majlis angkat sumpah itu didakwa akan turut melibatkan jawatan Timbalan Ketua Menteri.
Kenderaan membawa anggota Kabinet dilihat mula memasuki pekarangan Istana Negeri bermula 8.30 pagi tadi. –UTUSAN










