PETALING JAYA: Beberapa kawasan tanah rizab Melayu di Perak yang dipindah milik dan digantikan dengan kawasan lain, didapati tidak menepati kriteria tanah rizab yang dibatalkan.
Ini kerana ia digantikan dengan tanah lain yang berpaya, kering, berpasir, pamah, semak dan kawasan lombong.
Sedangkan, dalam Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan menetapkan, jika kawasan rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya, maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan hendaklah serta-merta diisytiharkan sebagai ganti.
Perkara itu didedahkan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019, Siri 2 – Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 28 September 2021.
Menurut laporan tersebut, semakan Audit mendapati terdapat kawasan tanah rizab Melayu Perak di Sungai Tumboh, Mukim Bota yang diganti secara serentak tidak memenuhi kriteria “serupa jenisnya” dengan tanah rizab Melayu yang dibatalkan.
“Didapati kawasan yang diganti adalah kawasan yang terpinggir, sukar dibangunkan dan tanah kurang nilai harga pasaran. Plot 1 seluas 41.611 hektar dan Plot 2 seluas 114.41 hektar di Sungai Tumboh, Mukim Bota.
“Semakan Audit terhadap laporan tanah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Perak Tengah mendapati, tapak ganti Plot 1 dan Plot 2 seluas 156.021 hektar adalah lebih luas daripada tanah rizab Melayu yang akan dibatalkan di Mukim Jaya Baru, Perak Tengah, iaitu seluas 21.2467 hektar.
“Bagaimanapun, keadaan fizikal tapak ganti Plot 1 dan Plot 2 tersebut adalah berpaya, kering, berpasir, pamah, semak dan kawasan lombong,” kata laporan tersebut.
Mengulas perkara itu, bekas Exco Kerajaan Negeri Perak mulai 2009 hingga 2013, Datuk Hamidah Osman berkata, tindakan tersebut menunjukkan Kerajaan Negeri Perak tidak serius membela tanah rizab Melayu yang terlepas ke pihak lain.
Malah, Hamidah yang juga ketua pasukan forensik tanah rizab Melayu Perak mengibaratkan kepincangan pengurusan tanah rizab Melayu itu seperti “melepaskan batok di tangga’.
“Sepatutnya Kerajaan Negeri Perak menyemak dan mengkaji dahulu karakter tanah yang hendak digantikan. Biarlah ia sepadan atau lebih tinggi nilainya dengan tanah rizab Melayu asal yang dibatalkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan pengurusan tanah rizab Melayu di Perak dikesan kurang cekap sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 3,214 hektar tanah rizab Melayu di Mukim Jaya Baru dan Sitiawan dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah.
Tindakan itu bertentangan dengan Seksyen 19 Enakmen Rizab Melayu 142 dan tidak mengikut Seksyen 419 Kanun Tanah Negara. – UTUSAN










