Formula pemberian khas Sabah, Sarawak

Formula pemberian khas Sabah, Sarawak mesti berlandas undang-undang

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah sepatutnya tampil dengan formula pemberian khas yang dipersetujui secara bersama bersandar undang-undang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, hal itu bagi membolehkan pemberian khas tidak boleh ‘diubah’ sewenang-wenangnya setiap kali berlaku pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan.

Katanya, formula tersebut adalah paling mustahak ketika kesemua pihak masih belum mewujudkan formulanya selain kajian semula pemberian khas telah pun dijalankan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Persetujuan mesti dibuat antara kerajaan pusat dan negeri supaya menjadi garis panduan pada masa hadapan. Pada masa sama, tidak akan berulang lagi cerita yang mana kerajaan akan terus berbincang dan berbincang setiap kali Perdana Menteri bertukar.

“Formula ini mesti menunjukkan keperluan Sarawak dan Sabah untuk urusan pembangunan dan pentadbiran. Kita lihat pembangunan dengan di Semenanjung, kita jauh kebelakang. Sebab itulah diwujudkan suatu peruntukan supaya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberi sumbangan kepada negeri ini supaya jadi sama rata.

“Kalau tiada formula, datang lagi seorang Perdana Menteri untuk berbincang berapa peruntukan mahu diberi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, akan memuktamadkan segera gesaan segelintir pihak supaya mempercepat proses semakan semula pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak melalui geran tahunan yang selama ini tidak dilakukan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pula dilaporkan berkata, formula yang berasaskan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan akan dimuktamadkan dalam mesyuarat pertama Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dipengerusikan Anwar.

Bagaimanapun, mesyuarat tersebut hanya akan berlangsung pada Februari ini melibatkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Kuching, Sarawak.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis dari Parti Warisan (Warisan) menggesa supaya kerajaan mempercepat proses semakan semula pemberian khas kepada Sabah melalui geran tahunan supaya selari dengan formula 40 peratus hasil negeri yang dikutip kerajaan Persekutuan.

Di dalam Bahagian IV Jadual Ke-10 Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak menerima Pemberian Khas bersamaan dua perlima atau 40 peratus daripada hasil bersih negeri dikutip Kerajaan Persekutuan.

Pun begitu, hingga kini, Sabah tidaklah mendapat 40 peratus hasil bersih negeri, namun diganti dengan pemberian khas lain dalam tempoh setiap lima tahun, menyaksikan jumlahnya masing-masing RM20 juta (1969), RM21.5 juta (1970), RM23.1 juta (1971), RM24.8 juta (1972) dan RM26.7 juta (1973).

Semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kabinet menaikkan amaun pemberian khas baharu untuk Sabah sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 (sejak tahun 1973) kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022, dan amaun itu akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026 mengikut kadar kenaikan dipersetujui secara bersama.

Perkara 112D (1) Perlembagaan menyatakan, sebarang pemberian gantian atau tambahan hendaklah dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan dan Sabah dalam tempoh lima tahun bermula 1969 hingga 1974 dan selepasnya, namun, hendaklah mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan Negeri.

Perkara 112D (3) Perlembagaan menyatakan, perintah untuk melakukan kajian semula mengenai pemberian khas hendaklah terus berkuat kuasa selepas berakhir tahun 1973 (semakan pertama dijalankan) melainkan digantikan dengan suatu perintah yang baharu selepasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN