Fasa satu LPB Sarawak siap akhir tahun ini

Fasa satu LPB Sarawak siap akhir tahun ini

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keseluruhan fasa satu Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dijangka siap akhir tahun ini kecuali bagi pakej 11 iaitu pembinaan di Lambir dan Beluru yang diramalkan siap pada 2024 berikutan terdapat perubahan skop projek. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, fasa satu LPB Sabah pula dijangka siap sepenuhnya pada akhir  2025.

“Mengenai status pelaksanaan projek LPB, sehingga kini pelaksanaan fasa satu projek LPB Sarawak dan Sabah masing-masing mencapai kemajuan fizikal 91 peratus dan 73 peratus.

“Fasa kedua LPB Sarawak pula akan melibatkan jajaran Miri-Limbang-Lawas (Lebuhraya Transborneo), fasa kedua projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) dan fasa 1B bagi projek Lebuhraya Borneo Utara Sabah. Keseluruhan kos projek melibatkan anggaran sebanyak RM26.2 bilion.

“Semua projek baharu berkenaan telah memperoleh kelulusan prinsip dari Jemaah Menteri pada bulan April 2022. Pembinaan fizikal dijangka bermula pada 2024 iaitu sebaik sahaja bajet 2023 diluluskan Parlimen dan pengesahan kelulusan peruntukan diterima dari agensi Pusat,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Dalam pada itu, Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya meminta supaya satu garis panduan perlu dibincang dan disediakan bersama agensi Pusat dengan pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek-projek di Sabah dan Sarawak. 

Beliau berkata, langkah itu perlu diambil selepas Kerajaan Persekutuan memberikan kuasa hampir sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak membuat keputusan bagi melaksanakan projek pembangunan di kedua-dua negeri itu yang melibatkan kos bawah RM50 juta.

“Kementerian Kerja Raya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri semalam berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk mengiktiraf Jabatan Kerja Raya JKR Negeri Sarawak dan Jabatan Kerja Raya JKR Negeri Sabah sebagai Jabatan Teknik Kerajaan serta pengiktirafan kuasa mentadbir urus projek-projek pembangunan persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta. 

“Keputusan ini akan melibatkan pindaan Arahan Perbendaharaan 182 (AP 182) yang menetapkan sebelum ini bahawa semua Jabatan Bukan Teknik hendaklah mendapatkan perkhidmatan daripada Jabatan Teknik yang diiktiraf sahaja iaitu JKR Malaysia dan JPS Malaysia bagi melaksanakan semua projek Kerajaan (perkara 182.1). 

“Dalam masa sama, Kementerian Kerja Raya juga berpandangan supaya satu garis panduan perlu dibincang dan disediakan bersama agensi Pusat bagi menentukan perincian berhubung agihan bidang kuasa, peranan dan tanggungjawab pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek-projek kedua-dua negeri berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya