Elak perangkap cinta, kahwin lelaki Rohingya

Elak perangkap cinta, kahwin lelaki Rohingya

PELARIAN Rohingya hanya diberi perlindungan sementara oleh kerajaan tanpa pengiktirafan sebagai warganegara yang sah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Rakyat ter­utama golongan gadis dinasihatkan tidak terperangkap dalam percintaan dan perkahwinan de­ngan lelaki pelarian Rohingya ke­rana lebih banyak impak negatif akan berlaku dalam kehidupan mereka pada masa depan.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan Bahagian Undang-Undang Keluarga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Moktar Salleh berkata, cabaran utama yang bakal dihadapi gadis atau wanita berkahwin dengan pela­rian Rohingya adalah kerana me­reka tidak mempunyai kewar­ganegaraan dari mana-mana negara.

MOKTAR SALLEH

Katanya, ketika ini pelarian Rohingya hanya diberi perlindungan sementara oleh kerajaan tanpa pengiktirafan sebagai warganegara yang sah.

“Sekiranya berlaku juga per­kahwinan, maka ia tidak didaf­tarkan kerana pelarian Rohingya itu tidak mempunyai status kewarganegaraan yang sah. Ini akan menyebabkan pihak berkuasa tidak boleh mengeluarkan surat pernikahan yang rasmi.

“Akibatnya, pasangan tersebut tidak mempunyai sebarang bukti bahawa mereka adalah suami isteri dan sekiranya ditangkap berdua-duaan, maka penguatkuasaan syariah boleh dibuat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Ketika ini, terdapat kira-kira 6,000 pelarian Rohingya yang menetap di seluruh Terengganu sahaja.

Moktar berkata, anak-anak yang dilahirkan oleh pasangan suami isteri itu juga perlu dibinkan dengan Abdullah atau mana-mana nama Asmaul Husna.

Menurutnya, tiada tuntutan nafkah boleh dituntut memandangkan perkahwinan itu tidak berdaftar dengan undang-undang di negara ini.

“Selain itu, sekiranya pelarian Rohingya tersebut perlu ditempatkan di mana-mana negara lain, mereka akan dikeluarkan sekeluarga termasuk pasangan dari Terengganu dan anak yang dilahirkan di sini.

“Oleh itu, kami menasihatkan agar berfikirlah secara masak-masak agar tidak terlalu menurut perasaan kerana jalan kebahagiaan itu agak berliku sekiranya mahu berkahwin dengan pelarian Rohingya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN