Dua pengarah dituduh subahat seleweng dana RM10.6 juta - Utusan Malaysia

Dua pengarah dituduh subahat seleweng dana RM10.6 juta

Dua pengarah
LIM Pay Chuan (gambar) tiba berasingan Lim Ah Hock bagi menghadapi pertuduhan penyelewengan dana berjumlah RM10.6 juta dekat Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua pengarah syarikat perunding pembinaan mengaku tidak bersalah bersubahat memindahkan wang dua buah syarikat kejuruteraan berjumlah RM10.6 juta di Mahkamah Sesyen, hari ini.

Tertuduh, Lim Pay Chuan, 53 dan Lim Ah Hock, 71, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas empat pertuduhan dibacakan.

Pay Chuan dikenakan tiga pertuduhan iaitu bersubahat dengan seorang pengurus besar syarikat pembinaan, G. Paismanathan, 53 bagi melupuskan harta syarikat, Pestech Technology Sdn. Bhd. dan Colas Rail System Engineering Sdn. Bhd. iaitu wang berjumlah RM10.07 juta.

Wang tersebut kononnya digunakan bagi membayar kerja-kerja laporan pelan serta rundingan kepada syarikat Siaz Holding Berhad.

Tertuduh didakwa membuat kesalahan tersebut pada 1 Ogos, 27 Disember 2017 dan 5 Januari 2018 di pejabat Pestech Technology, Ara Damansara.

Manakala Ah Hock pula didakwa atas satu pertuduhan, iaitu juga bersubahat dengan G. Paismanathan bagi melupuskan harta Pestech Technology iaitu wang berjumlah RM530,000 yang kononnya wang tersebut digunakan bagi membayar kerja rundingan kepada Siaz Holding.  

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 16 November 2017 di pejabat Pestech Technology, Ara Damansara.

Justeru, kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 109 dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, sebatan dan denda.

Hakim kemudian memutuskan setiap tertuduh diikat jamin RM200,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta mereka perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Rozilah memutuskan jaminan dan pematuhan syarat tambahan demikian selepas menolak rayuan peguam kedua-dua tertuduh, Gobind Singh Deo yang meminta mahkamah tidak mengambil pasport bagi membenarkan Ah Hock mendapatkan rawatan sakit jantung di luar negara.

Beliau menjelaskan, tertuduh berkenaan boleh membuat rayuan untuk mendapatkan sementara pasportnya sekiranya mahu ke luar negara bagi tujuan tersebut.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin dan sebutan semula ditetapkan pada 24 Februari depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya