Dia seperti bapa kepada kami semua - Pendakwaan

Dia seperti bapa kepada kami semua – Pendakwaan

NAJIB Tun Razak ketika dibawa untuk menghadiri perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIFF 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dalam nada sebak, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk menangguhkan perbicaraan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penangguhan tersebut adalah disebabkan kematian ketua pasukan pendakwaan, mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.15 tengah hari, semalam.

“Seperti yang Yang Arif ketahui, kami (pendakwaan) telah kehilangan bos kami, ketua kami, Datuk Seri Gopal Sri Ram. Beliau tidak ubah seperti seorang bapa kepada kami semua. 

“Kami memohon budi bicara Yang Arif untuk melapangkan tarikh hari ini dan esok bagi membolehkan membenarkan kami menghadiri majlis penghormatan terakhir beliau sebelum dibawa ke Shah Alam untuk urusan selanjutnya. Kami ingin berada di sana bagi kedua-dua upacara,” ujar Ahmad Akram.

Pada prosiding hari ini, pasukan pendakwaan jelas dilihat bersedih dengan pemergian mendiang Sri Ram.

Selain itu, Ahmad Akram yang kini mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan, pihak pendakwaan memerlukan masa untuk berbincang dan membuat pembahagian semula tugas berhubung pengendalian saksi-saksi.

Hari ini sepatutnya diteruskan dengan prosiding soal balas pihak pembelaan terhadap saksi pendakwaan ke-41, bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib tidak membantah terhadap penangguhan tersebut dan turut mengucapkan takziah kepada pasukan pendakwaan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan penangguhan tersebut dan kes akan bersambung Khamis ini.

Sementara itu, Ahmad Akram ketika ditemui tidak memberikan sebarang komen berhubung kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengenai pasukan pendakwaan kes 1MDB.

Semalam, Idrus dalam satu kenyataan kepada sebuah portal berita menyatakan bahawa perbicaraan kes itu akan diteruskan dengan pasukan pendakwaan sedia ada.

GOPAL SRI RAM

Sri Ram yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, meninggal dunia di sebuah hospital swasta semalam. Beliau dimasukkan ke hospital sejak minggu lalu bagi mendapatan rawatan akibat jangkitan paru-paru.

Beliau meninggalkan seorang balu dan dua  anak.

Mendiang juga adalah Timbalan Pendakwa Raya utama dalam perbicaraan kes rasuah yang dihadapi oleh Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek hibrid solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan pengubahan wang haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya