BN, Warisan sokong pembentukan Kerajaan Perpaduan di Sabah

BN, Warisan sokong pembentukan Kerajaan Perpaduan di Sabah

MOHD SHAFIE APDAL dan BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pertemuan ketua-ketua parti bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membawa kepada penamat kemelut politik Sabah apabila pembentukan Kerajaan Perpaduan membabitkan semua parti dicadangkan.

Perdana Menteri mengambil pendekatan bijak apabila tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam usaha membantu menyelesaikan kemelut politik Sabah.

Cadangan dikemukakan Anwar itu mendapat sokongan penuh daripada Barisan Nasional (BN) Sabah dan Parti Warisan (Warisan) yang terlebih dahulu mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri di sebuah hotel terkemuka semalam.

Pertemuan selama sejam bersama Anwar itu diikuti dengan pertemuannya bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berakhir kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyokong penuh cadangan Perdana Menteri untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang akan melibatkan seluruh parti politik di negeri ini.

“Saya yakin dan percaya melalui kerajaan Perpaduan ini ianya mampu meredakan suhu politik dan seterusnya menstabilkan politik negeri Sabah ketika ini.

“Saya juga berharap agar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dapat menerima dengan hati yang terbuka saranan daripada Perdana Menteri ini demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bung Moktar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu berkata, sebahagian besar ADUN UMNO Sabah tidak dapat menghadirkan diri dalam persidangan DUN khas yang akan diadakan pada hari ini kerana perlu berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

“Namun, saya bersama ADUN UMNO Sabah turut menyokong penuh Rang Undang-undang Bekalan Gas 2023 yang akan dibentangkan dalam sidang DUN Khas berkenaan,” katanya.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut senada dengan Bung Moktar dalam menyokong cadangan Perdana Menteri untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negeri Sabah.

“Saya bersama ADUN Warisan juga menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan RUU Bekalan Gas 2023 yang akan dibentangkan dalam mesyuarat khas penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) hari ini.

“Pelaksanaan RUU itu adalah selaras dengan perjuangan Warisan untuk melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Walau bagaimanapun, ketidakhadiran ADUN Warisan pada persidangan DUN Sabah kerana melihat keperluan menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menentukan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah selaras dengan cadangan Anwar semalam.

Keputusan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Sabah itu adalah langkah penyelesaian yang dicadangkan bagi menyelesaikan kemelut politik Sabah pada ketika ini.

Selepas BN menarik sokongan daripada Hajiji pada Jumaat lalu, politik Sabah mula bergolak sehingga timbul khabar angin menyatakan tindakan BN Sabah itu adakah cubaan untuk menumbangkan kerajaan GRS-BN yang dibentuk secara bersama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun 2020.

Sekiranya cadangan dikemukakan Perdana Menteri itu dilaksanakan, ia dilihat akan membawa kepada rombakan Kabinet Negeri secara besar-besaran kerana Kerajaan Sabah pada ketika ini hanya dianggotai oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta sebahagian ADUN UMNO.

Pembentukan Kerajaan Perpaduan itu perlu melibatkan penyertaan Parti Warisan (Warisan), Pakatan Harapan (PH) Sabah dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang masing-masing mempunyai kerusi DUN.

Pihak GRS pada masa ini memaklumkan mempunyai sokongan 44 ADUN termasuk ADUN PH manakala, sebahagian ADUN UMNO, Warisan dan KDM pula mempunyai 35 kerusi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya