Bermula simpan set teko, kini ada galeri barangan lama

Bermula simpan set teko, kini ada galeri barangan lama

MAHADHIR Ab. Rahman menunjukkan barangan lama miliknya yang disimpan di Galeri Al- Khamani, Kampung Pasir Panjang, Port Dickson. – FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Bermula de­ngan menyimpan set teko dan cawan milik arwah ibunya, tindakan itu menyemai minat Mahadhir Ab. Rahman, 43, untuk mengumpul pelbagai bara­ngan antik sehingga membuka sebuah galeri di rumahnya di Kampung Pasir Panjang, di sini.

Katanya, dia mula serius me­ngumpul barangan lama sejak tujuh tahun lalu ketika kebetulan arwah ibunya pada waktu itu mahu membuang teko dan cawan berkenaan.

“Saya ambil set teko tersebut dan menyimpannya di bawah katil sehinggalah ibu saya menjumpainya dan meminta saya membuat satu tempat khusus untuk menyimpan barang-barang lama.

“Bermula daripada situ, saya menyimpan pelbagai barangan antik. Sehingga kini ada lebih 5,000 barangan lama yang disimpan di Galeri Al-Khamani,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, kelmarin.

Mahadhir berkata, dia sanggup ke beberapa buah negara seperti China, Indonesia, Korea Selatan, Jepun dan Thailand semata-mata untuk mencari ko­leksi barangan lama di negara berkenaan.

“Saya sering mengambil peluang bercuti ke luar negara untuk melihat sendiri barangan lama yang dijual oleh pengumpul barangan lama di sana.

“Kini, pelbagai barangan la­ma termasuk set barangan per­kahwinan, set teko lama pel­bagai corak, tempayan lama, basikal, mangkuk tingkat dan radio lama di simpan di galeri saya ini,” katanya yang merupakan seorang penjawat awam.

Ujarnya, kerana rumahnya yang unik dengan pelbagai barangan dan hiasan antik, ia menarik kunjungan orang ramai termasuk dalam kalangan pihak produksi drama dan jurugambar pengantin.

“Ramai yang terkejut kerana saya tidak mengenakan sebarang bayaran, bagi saya ini adalah koleksi peribadi dan mahu berkongsikan nilai yang ada pada barangan lama ini kepada semua.

“Ramai jurugambar yang sering membawa pasangan pengantin untuk mengabadikan kenangan di sini malah ada yang mahu menyewa barangan lama ini untuk dijadikan alatan (props) penggambaran,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.