Bela diri Bung Moktar, Zizie tidak didengar selagi rayuan belum

Bela diri Bung Moktar, Zizie tidak didengar selagi rayuan belum diputuskan

BUNG Moktar Radin dipapah ketika meninggalkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas sebutan kes rasuah pelaburan Felcra. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keterangan bela diri Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette A. Samad terhadap pertuduhan rasuah, masih belum ditentukan selagi rayuan mereka terhadap permohonan semakan tidak didengar oleh Mahkamah Rayuan.

Peguam M. Athimulan yang mewakili Ahli Parlimen Kinabatangan itu memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, pengurusan kes terhadap rayuan itu di Mahkamah Rayuan ditetapkan pada 22 Mac ini.

Tarikh pendengaran rayuan masih belum ditetapkan kerana Mahkamah Rayuan belum menerima rekod rayuan termasuk penghakiman bertulis dan nota keterangan daripada Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon tarikh sebutan lain bagi memaklumkan perkembangan rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Kami juga mohon kehadiran kedua-dua anak guam pada sebutan kes seterusnya dikecualikan,” kata Athimulan.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How tidak membantah permohonan pembelaan untuk kehadiran kedua-dua tertuduh dikecualikan.

Hakim Rozina Ayob kemudian menetapkan sebutan pada 27 Mac ini dan membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya kehadiran kedua-dua tertuduh dikecualikan.

Bung Moktar yang berkerusi roda kerana mengalami kecederaan pada bahagian kaki, hadir ke mahkamah bersama Zizie Izette.

Pada 3 Januari lalu, pasangan itu yang sepatutnya mula membela diri terhadap pertuduhan rasuah melibatkan pelaburan RM150 juta wang Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad, dibenar oleh Mahkamah Tinggi untuk menggantung perbicaraan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman (kini Hakim) Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan demikian selepas membenarkan permohonan kedua-duanya sementara menunggu rayuan mereka dilupuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Bung Moktar dan isteri merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan.

Pada 9 Disember 2022, Hakim Azhar memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal oleh pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya