Hata tutup pusingan pendanaan Siri A bernilai AS$8 juta

Hata tutup pusingan pendanaan Siri A bernilai AS$8 juta dengan Bybit

DAVID Low (kanan) bersama Ben Zhou (tengah) dan Ketua Pegawai Strategi Hata, Darien Ng.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hata, satu-satunya bursa aset digital dengan dwi lesen di Malaysia menutup pusingan pendanaan Siri A bernilai AS$8 juta (RM31.6 juta) yang diketuai oleh Bybit, bursa mata wang kripto kedua terbesar di dunia dari segi volum dagangan serta beberapa pejabat keluarga global terkemuka. 

Pendanaan ini menandakan permulaan kerjasama strategik yang lebih mendalam antara kedua-dua syarikat dan bukan sekadar suntikan modal, tetapi juga melambangkan komitmen bersama untuk membangunkan ekosistem aset digital Malaysia secara bertanggungjawab dan berskala.

Ketua Pegawai Eksekutif Hata, David Low berkata, perkongsian dengan Bybit ini menandakan detik penting bagi Hata dan industri aset digital Malaysia. 

“Keputusan Bybit untuk mengetuai pusingan ini dan bekerjasama secara strategik dengan Hata mengesahkan kepercayaan kami bahawa kripto perlu dibangunkan dengan cara yang betul melalui pelesenan sah, pematuhan ketat dan komitmen teguh terhadap perlindungan pelabur. 

“Kami akan menggabungkan platform tempatan Hata yang dipercayai dengan kepakaran global Bybit dalam teknologi dan inovasi produk, bagi memperluas potensi pengguna di Malaysia,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu,  Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Bybit, Ben Zhou berkata, Malaysia merupakan pasaran strategik bagi Bybit kerana memiliki antara populasi yang paling celik digital di Asia Tenggara serta potensi jangka panjang yang kukuh untuk penerimaan aset digital. 

“Kami melihat Hata sebagai rakan tepat dalam memenuhi keperluan pelabur Malaysia melalui platform yang dipercayai dan dikawal selia. 

“Dengan menyatukan kepimpinan pasaran tempatan Hata dengan kekuatan global Bybit dalam teknologi dan inovasi produk, kami berhasrat mempercepat pertumbuhan ekosistem aset digital serta aset dunia nyata bertoken di Malaysia,” ujarnya.

Pusingan Siri A ini membina kesinambungan daripada penyertaan awal Bybit dalam pusingan benih Hata berjumlah AS$4.2 juta (RM16.6 juta), sekali gus memperkukuh hubungan yang kini berkembang kepada tahap kerjasama strategik. 

Tambah kenyataan itu, pusingan ini turut menarik penyertaan beberapa pejabat keluarga global yang memberi tumpuan kepada pasaran teknologi dan kewangan Asia Tenggara.

Hata akan memanfaatkan dana ini merentasi tiga bidang utama pada platformnya iaitu dengan memperkukuh kecairan, mempercepat pertumbuhan pengguna melalui inisiatif pemasaran dan ekosistem serta bekerjasama dengan Bybit bagi membangunkan produk aset digital inovatif yang disesuaikan untuk rakyat Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×