KUALA LUMPUR: Pengumuman kerajaan berhubung beberapa langkah bagi mengurangkan tekanan kos, khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dilihat mampu menyokong aktiviti eksport negara.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah ini amat signifikan memandangkan modal kerja merupakan komponen utama bagi syarikat yang terlibat dalam eksport.
Katanya, dengan kemudahan jaminan ini, PMKS dijangka dapat memperkukuh aliran tunai serta meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk pasaran luar negara.
“Dalam perniagaan eksport, keperluan modal kerja adalah kritikal. Jaminan RM5 bilion ini dilihat mencukupi untuk membantu PMKS mengekalkan momentum dan terus berkembang,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai prestasi perdagangan bagi suku pertama di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan jaminan pembiayaan berjumlah RM5 bilion di bawah Skim Pembiayaan Mudah Perniagaan (SMPP), yang bertujuan meningkatkan akses modal kepada sektor tersebut.
Selain itu, Anwar turut mengumumkan beberapa langkah segera bagi meringankan tekanan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) susulan krisis tenaga global dan konflik Asia Barat antaranya peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).
Sebelum ini, peruntukan di bawah skim yang sama hanya sekitar RM100 juta, yang dianggap tidak memadai untuk memenuhi keperluan sektor.
Peningkatan ketara ini dijangka memberi rangsangan lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam memastikan perbelanjaan perniagaan tidak terhenti.
Dalam perkembangan berkaitan, rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara jiran dilaporkan masih berjalan dan menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan.
“Namun, terdapat kebimbangan bahawa kelewatan memuktamadkan FTA boleh memberi kesan kepada eksport tertentu seperti minyak sawit, terutama apabila negara pesaing telah terlebih dahulu memeterai perjanjian perdagangan.
“Kerajaan bagaimanapun kekal optimis bahawa rundingan tersebut akan mencapai penyelesaian positif, sekali gus membantu mengukuhkan kedudukan eksport Malaysia di pasaran global,” katanya. – UTUSAN










