Balu mangsa kemalangan di litar teruskan perniagaan bengkel kenderaan suami - Utusan Malaysia

Balu mangsa kemalangan di litar teruskan perniagaan bengkel kenderaan suami

NOOR Idayu Yunus (empat dari kanan) menerima cek Faedah Pengurusan Mayat Perkeso daripada Zainal Ismail (tiga dari kanan) dan Mohd. Nasrul Menhat (dua dari kanan) di Kamunting, Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Balu kepada lelaki yang maut akibat dirempuh kereta terbabas dalam perlumbaan di Litar Dato’ Sagor di Kampung Gajah baru-baru ini akan meneruskan perniagaan bengkel kenderaan yang diusahakan suaminya di Kamunting di sini.

Noor Idayu Yunus, 29, berkata, dia mahu meneruskan perniagaan itu demi amanah arwah suaminya, Muhammad Amir Mohd. Yusoff, 32, yang meninggal dunia dalam kejadian pada Sabtu lalu.

“Saya akan meneruskan perniagaan yang diusahakan oleh arwah suami. Segala usaha yang arwah telah jalankan, akan saya teruskan dan amanah yang ditinggalkan ini akan dipelihara terutamanya dalam menjaga anak-anak.

“Segala susah senang hidup bersamanya selama hampir lapan tahun telah kami jalani berdua, terutamanya ketika menghadapi kesukaran pada zaman pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan cek bernilai RM2,000 bagi Faedah Pengurusan Mayat (FPM) yang disampaikan oleh Pengarah Perkeso Perak, Zainal Ismail rumahnya di Taman Saujana Permai Kamunting di sini hari ini. Turut hadir Pegawai Daerah Larut Matang Selama (LMS), Mohd. Nasrul Menhat.

Menurut Noor Idayu, kemalangan yang menyebabkan suami meninggal memberikan kesan yang mendalam terhadap dia dan tiga anaknya iaitu Damia Infishar, 6, Yusuff Mikhail, 3, dan Damia Inara yang berusia setahun.

Noor Idayu sedang mengandung anak keempat yang kini kandungannya berusia empat bulan.

Katanya, selepas kematian suaminya, mereka seakan-akan hilang keceriaan terutama ketika anak-anak menanti kepulangan bapa mereka dari bekerja.

Jelasnya, biasanya setiap hari ketiga-tiganya anaknya itu akan menanti kepulangan bapa mereka tetapi suasana itu sudah tiada lagi.

“Sekarang suasana agak suram dan saya dapat rasakan betapa rindunya anak-anak kepada Abi mereka.

“Ketiga-tiga anak saya memang rapat dengan Abi mereka. Apa yang berlaku terhadap bapa mereka sudah telah saya ceritakan kepada anak-anak tanpa menyembunyikan daripada pengetahuan mereka,” katanya.

Sementara itu, Noor Idayu berkata, dia bersyukur kerana diberitahu oleh kawan-kawan suaminya, arwah seorang yang sering membantu mereka yang memerlukan.

“Menurut kawan-kawannya, arwah sentiasa menghulurkan bantuan kepada yang memerlukannya namun tidak mahu namanya dicatat dalam kertas senarai pemberi sumbangan, baginya lebih baik tangan kanan memberi dan tangan kiri tidak tahu.

“Arwah suami juga tidak pernah gagal dalam mengeluarkan zakat perniagaan setiap tahun,” katanya.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, Muhammad Amir maut selepas dirempuh sebuah kereta Proton Satria ketika menyaksikan pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah.

Kejadian sekitar pukul 3.30 petang itu dipercayai berpunca akibat dua buah kereta hilang kawalan selepas bergesel sesama sendiri sebelum salah sebuah kereta terbabas ke kanan litar lalu memasuki laluan berumput.

Kenderaan yang terbabas itu telah melanggar salah seorang penonton yang berada di atas kawasan berumput dalam jarak sembilan meter dari laluan litar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.