Ramai tidak menyedari tabiat harian yang kelihatan remeh sebenarnya menjadi antara punca utama kerosakan kulit.
Perkara-perkara kecil dalam rutin harian seperti tidur tanpa menanggalkan solekan, kerap menyentuh muka dengan tangan kotor serta tidak memakai pelindung matahari boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan kulit.
Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, antara kes paling biasa ialah individu yang terus tidur tanpa membersihkan solekan.
“Sisa produk yang melekat pada kulit sepanjang malam akan menyumbat pori dan merosakkan lapisan perlindungan kulit,” katanya baru-baru ini.
Beliau menambah, tabiat menyentuh muka dengan tangan yang kelihatan bersih tetapi sebenarnya dipenuhi bakteria turut mempercepatkan pembentukan jerawat.
Dalam iklim Malaysia yang panas dan lembap dengan tahap sinaran ultraungu (UV) tinggi, kegagalan memakai pelindung matahari dikenal pasti sebagai punca paling besar kerosakan kulit.
Tanpa perlindungan ini, lapisan kulit akan mengalami kerosakan, sekali gus mempercepatkan penuaan, kemunculan jeragat dan kedutan.
Sinaran matahari bukan sahaja memberi kesan luaran, malah mampu merosakkan asid deoksiribonukleik (DNA) kulit secara perlahan tanpa disedari.
Justeru, penggunaan perlindungan matahari setiap hari, termasuk ketika berada di dalam rumah, amat penting bagi mengekalkan kesihatan kulit dalam jangka panjang.
Telefon bimbit sarang bakteria
Peranti yang sentiasa berada di tangan iaitu telefon bimbit turut menjadi penyumbang kepada masalah kulit.
Skrin telefon yang sering terdedah kepada pelbagai permukaan termasuk tandas, mengumpul bakteria, minyak dan kotoran.
Apabila telefon didekatkan pada muka, terutama dalam keadaan panas dan berpeluh, ia mewujudkan persekitaran sesuai untuk bakteria membiak sekali gus memburukkan jerawat dan mencetuskan masalah kulit lain seperti ekzema.

Kurang tidur jejas sel kulit
Tidur yang mencukupi memainkan peranan penting dalam proses pembaikan kulit.
Ketika tidur, tubuh menghasilkan hormon pertumbuhan yang membantu memperbaharui sel kulit.
Namun, apabila tidur tidak mencukupi, proses ini terganggu dan menyebabkan kulit kelihatan kusam, pucat serta tidak bermaya.
Dalam masa sama, peningkatan hormon stres iaitu kortisol akan mencetuskan pelbagai masalah seperti lingkaran hitam bawah mata, melasma, kulit kering dan kedutan.
Stres
Tekanan emosi turut memberi kesan besar kepada kulit melalui hubungan yang dikenali sebagai psikodermatologi.
Apabila seseorang mengalami stres, hormon kortisol meningkat dan mencetuskan keradangan dalam badan.
Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan jerawat dan pengeluaran minyak berlebihan, malah boleh memburukkan ekzema.
Walaupun stres tidak dapat dielakkan, ia perlu diurus dengan baik melalui gaya hidup sihat seperti tidur mencukupi dan aktiviti relaksi.
Asas penjagaan kulit
Dr. Hamidah berkata, penjagaan kulit tidak memerlukan rutin yang kompleks. Langkah asas sudah memadai untuk mengekalkan kesihatan kulit.
Antaranya ialah mencuci muka dua kali sehari dengan pencuci lembut, memakai pelembap sesuai, serta menggunakan pelindung matahari dengan pengulangan sapuan setiap dua hingga tiga jam.
Selain itu, amalan menukar sarung bantal secara berkala, membersihkan berus solekan dan menjaga kebersihan persekitaran turut membantu kesihatan kulit.
Pengambilan air yang tidak mencukupi menyebabkan dehidrasi, sekali gus menjadikan kulit kering, kusam dan tidak bermaya.
Dalam keadaan ini, tubuh akan mengutamakan organ penting seperti jantung dan otak, menyebabkan kulit menjadi antara organ pertama yang kehilangan air.
Keadaan ini menjadi lebih teruk dalam cuaca panas dan bagi individu yang kerap mengambil minuman berkafein.
Mitos
Menurut Dr. Hamidah, masih banyak salah faham mengenai penjagaan kulit dalam kalangan masyarakat.
Antaranya ialah anggapan kulit gelap tidak memerlukan pelindung matahari, sedangkan semua jenis kulit perlu perlindungan UV.
Selain itu, kulit berminyak juga tetap memerlukan pelembap yang sesuai.
Mitos bahawa produk mahal lebih berkesan turut disangkal kerana keberkesanan bergantung kepada kesesuaian dan konsistensi penggunaan.
Rawatan awal lebih berkesan
Dr. Hamidah menasihatkan individu mendapatkan rawatan awal sekiranya mengalami masalah kulit yang serius atau berlarutan seperti jerawat teruk, perubahan mendadak pada kulit atau ekzema yang tidak sembuh.
Rawatan awal bukan sahaja lebih mudah, malah dapat mengelakkan komplikasi jangka panjang seperti parut kekal.
“Apa yang penting, rawatan perlu dilakukan di pusat bertauliah dan di bawah pengawasan doktor bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan,” katanya.










