SHAH ALAM: Kira-kira 500 pekerja Jakel di Seksyen 7 di sini akan meneruskan tugas mereka di tiga cawangannya di Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur (Jakel Mall), Bandar Tun Hussein Onn dan Bangi.
Khidmat mereka masih diperlukan walaupun cawangan di Jalan Plumbum S7/S itu musnah dalam kejadian kebakaran pada awal pagi Ahad lalu.
Menurut pengurusan cawangan gedung tekstil cawangan Shah Alam itu, pekerja terlibat akan terus dibela dan masih dibayar gaji seperti biasa.
“Biarpun musibah melanda, syarikat tidak akan meminggirkan pekerja yang turut terjejas. Jakel akan memikirkan langkah seterusnya termasuk kemungkinan membina bangunan baharu di Shah Alam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, gedung tekstil tersebut di sini mengalami kebakaran kali kedua melibatkan sebuah stor simpanan kain langsir seluas 1,200 kaki persegi dekat tingkat tiga kedai berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.40 tengah malam tadi sebelum mengerahkan 10 jentera bersama 43 pegawai dan anggota dari tujuh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ke lokasi kejadian.
Susulan itu, beliau memaklumkan pasukan penyiasat seperti Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan semalam menumpukan siasatan terhadap unsur perbuatan membakar serta sisa bara api yang masih terdapat di premis tersebut.
Kata Norazam, siasatan terperinci melibatkan kemusnahan keseluruhan 16 premis syarikat tekstil itu akan mengambil masa 14 hari sebelum bomba membuat kesimpulan mengenai punca sebenar kebakaran gedung pakaian terkemuka itu.
“Tempoh itu turut meliputi keputusan analisis makmal menerusi hasil pemeriksaan menyeluruh di lokasi kejadian. Siasatan akan menumpukan sama ada wujud perbuatan membakar atau kesan bara api kecil yang masih tersisa pada fabrik atau pakaian.
“Bomba memerlukan tempoh 14 hari menjalankan siasatan dan analisis termasuk mendapatkan saksi-saksi kejadian itu,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim memaklumkan, pihaknya setakat ini menerima 10 laporan polis berkaitan kes kebakaran Wisma Jakel di Seksyen 7 di sini, termasuk melibatkan kejadian terbaru tengah malam kelmarin.
“Tujuh laporan itu masing-masing tiga daripada pihak Jakel, tiga peniaga premis berdekatan dan satu orang awam. Namun, tiada laporan berhubung spekulasi dan unsur fitnah di media sosial diterima polis.
“Polis akan menjalankan siasatan lanjut selepas menerima laporan penuh berkenaan kelak. Ia termasuk sekiranya wujud perbuatan individu membakar atau unsur jenayah lain,” ujarnya. – UTUSAN










