5 suspek samun tumpas, lebih 10 kes selesai - Utusan Malaysia

5 suspek samun tumpas, lebih 10 kes selesai

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain menunjukkan antara suspek dan barangan yang dirampas daripada tiga sindiket samun yang berjaya ditumpaskan polis dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan lebih 10 kes samun termasuk samun bersenjata menerusi penahanan lima suspek lelaki tempatan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar negeri itu, baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, penahanan geng pertama melibatkan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 30 tahun yang dipercayai aktif menyamun menggunakan senjata sejak awal Disember lalu.

Katanya, kedua-dua suspek itu ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Jalan Betik, Bukit Mertajam dekat sini, pukul 10 malam, 9 Disember lalu.

”Kedua-dua suspek diitahan pukul 12.01 tengah malam 1 Januari lalu di tepi jalan di Jalan Berjaya dan Taman Desa Damai.

”Ketika ditahan, salah seorang suspek menyimpan sepucuk revolver .38, dan dirampas bersama dua kelongsong serta tiga butir peluru. Kita tidak menolak kemungkinan mereka mahu menyamun kedai serbaneka di sekitar kawasan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun bersenjata api di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menerusi penahanan geng berkenaan.

Jelas beliau, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau dan positif dadah itu direman selama enam hari sehingga 6 Januari ini untuk siasatan lanjut.

”Siasatan awal mendapati mereka menyasarkan kedai serbaneka yang beroperasi lewat malam dengan melarikan wang hasil jualan serta telefon bimbit,” katanya.

Tambah beliau, polis turut merampas dua buah motosikal Yamaha 125z dan SYM; sebuah kereta; dua buah telefon bimbit; sebilah parang; empat topi kaledar dan dua beg silang daripada dua suspek itu.

Mohd. Shuhaily berkata, penahanan geng samun kedua melibatkan dua suspek lelaki tempatan berusia 24 dan 25 tahun yang ditahan pada 25 Disember lalu di kawasan Kepala Batas, dekat sini.

”Kedua-dua suspek ditahan kira-kira pukul 6 petang kerana disyaki terlibat dalam kes samun kedai sebaneka di beberapa lokasi di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dengan menggunakan parang.

”Sejumlah tiga kes samun dan satu kes curi motosikal berjaya diselesaikan melibatkan daerah SPU menerusi penahanan kedua-dua suspek ini yang kini direman sehingga 4 Januari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seorang lagi lelaki berusia 30 tahun ditahan di sini, 30 Disember lalu kerana terlibat dalam kes ragut pada 28 Disember lalu di Jalan Rafaie, Tanjung Bungah dekat sini.

“Suspek dipercayai terlibat dalam lima kes samun di daerah Timur Laut dan satu kes curi motosikal di daerah Barat Daya.

“Dia turut mempunyai sembilan rekod lampau dan dipercayai terlibat dalam jenayah samun ragut sejak Mac tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya