3 beranak edar ganja, heroin diberkas - Utusan Malaysia

3 beranak edar ganja, heroin diberkas

MOHD. NOR Daud (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas daripada satu sindiket yang didalangi tiga beranak dalam sidang akhbar di IPD SPT, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Seramai tiga beranak diberkas dalam dua serbuan berasingan Selalu lalu selepas dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis ganja dan heroin untuk pasaran tempatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintenden Mohd. Nor Daud berkata, dalam serbuan pertama pukul 9 pagi di sebuah kawasan taman permainan di sini, seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, penahanan lelaki terbabit yang dipercayai mendalangi sindiket itu membawa kepada penemuan satu ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 7.20 gram bernilai RM550.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada suspek, polis seterusnya menyerbu sebuah rumah tidak jauh dari situ dan menangkap isteri serta anak lelaki suspek masing-masing berusia 53 dan 23 tahun.

“Siasatan lanjut kemudian menjumpai empat ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat 1,363 gram bernilai RM20,650 selain 18 peket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 2,209 gram bernilai RM32,065.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak RM53,265,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Nor, ketiga-tiga suspek bagaimanapun negatif dadah hasil ujian saringan air kencing.

“Semakan mendapati, suspek pertama iaitu si bapa yang bekerja sebagai buruh mempunyai lapan rekod kesalahan dadah dan satu rekod berkaitan jenayah manakala anak dan isterinya yang kedua-dua tidak bekerja masing-masing mempunyai dua rekod berkaitan dadah dan tiada rekod lampau,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Nor memberitahu, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau boleh disebat tidak kurang daripada 15 kali sebatan jika tidak dihukum mati.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 iaitu dengan menyita dua buah motosikal yang masing-masing berharga RM2,500 dan RM3,500 sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM59,265,” kata beliau.

Tambah Mohd. Nor, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk untuk mengetahui dari mana dan bagaimana bekalan dadah itu masuk ke negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya