14 pegawai, anggota polis ditahan bertindak lindungi ahli AHK - Utusan Malaysia

14 pegawai, anggota polis ditahan bertindak lindungi ahli AHK

ROHAIMI Md. Isa (lima dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada barangan yang dirampas dalam Op Selendang pada sidang akhbar di IPK Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 14 anggota dan pegawai polis di negeri ini yang ditahan kerana terlibat dalam pertubuhan haram Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) pada Jumaat lalu disyaki bertindak memberi perlindungan kepada ahli pertubuhanan tersebut.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, seramai tujuh ahli pertubuhan haram yang turut ditahan dalam Op Selendang itu terlibat dalam kegiatan tarik kereta dan mengutip hutang menggunakan keganasan serta gangsterism terhadap mangsa, namun dilindungi anggota dan pegawai polis terlibat.

Menurutnya, ahli pertubuhan itu dilindungi anggota dan pegawai polis dengan menampal pelekat kereta berlogo AHK bagi memastikan kenderaan tidak dikenakan tindakan walaupun terlibat dalam jenayah dan melakukan kesalahan undang-undang jalan raya.

“Berdasarkan maklumat dan siasatan awal, ahli AHK yang ditangkap dipercayai menggunakan unsur kekerasan seperti ‘ah long’ ketika menarik kereta dan mengutip hutang.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan sumber dana pertubuhan haram ini dan kami percaya anggaran ahli AHK sekitar 200 sehingga 300 orang,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan pegawai berpangkat inspektor antara 14 anggota polis yang ditahan reman dipercayai terlibat pertumbuhan kongsi gelap AHK dalam Op Selendang, Jumaat lalu.

Kesemua 14 anggota dan pegawai polis itu merupakan antara 21 individu ditahan berusia antara 20 sehingga 49 tahun.

Mereka ditahan dalam operasi khas tersebut yang dilancarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman di sebuah rumah di Dungun.

Rohami memberitahu, kesemua anggota dan pegawai polis itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan Kuala Terengganu serta Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Tambahnya, daripada 14 anggota dan pegawai polis yang dicekup, dua masih ditahan reman sehingga esok.

“Seramai 10 anggota dan pegawai terlibat telah ditahan kerja bermula semalam dan dua lagi menunggu tindakan lanjut,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu, turut dicekup ketua kumpulan yang juga seorang peniaga berusia 39 tahun, selain turut merampas lapan bilah senjata tajam, lapan buah kenderaan dan 28 telefon bimbit.

“Beberapa naskhah al-Quran, selendang dan kain kafan turut ditemukan ketika serbuan dipercayai bagi upacara ritual angkat sumpah taat setia ahli pertubuhan terbabit.

“Semua suspek kini sedang disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Orang ramai tidak perlu gentar dan boleh membantu pihak polis dengan memberi maklumat teus kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Terengganu atau balai polis berhampiran,” tambah beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya