136,000 isi rumah dibelenggu miskin tegar, pimpinan atasan hidup mewah

136,000 isi rumah dibelenggu miskin tegar, pimpinan atasan hidup mewah

ANWAR Ibrahim melakukan gimik pelancaran buku 'Membangun Negara Madani’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Kerajaan tidak akan terus membiarkan sejumlah 136,000 isi rumah berada dalam kategori miskin tegar sedangkan negara sudah mencapai kemerdekaan lebih enam dekad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah sesuatu yang mengaibkan apabila masih wujud kelompok itu bersama 308,000 isi rumah dalam kategori miskin di saat pimpinan atasan hidup mewah dan terus mengutip habuan yang bukan hak mereka.

“Haram bagi kita pimpinan politik atau penjawat awam mengamalkan rasuah atau membazir dalam keadaan rakyat mencecah ratusan ribu dalam kehidupan perit.

“Jabatan Perangkaan mendedahkan 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 beralih kepada kumpulan B40 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bencana Covid-19 bukan alasan untuk kita membiarkan keadaan ini berterusan tanpa langkah yang lebih berani,” katanya ketika menyampaikan amanat Membangun  Malaysia Madani, di sini hari ini. 

Anwar berkata, ukuran kadar kemiskinan mesti berubah selain daripada menilai soal pendapatan semata-mata, sebaliknya diukur dari pelbagai dimensi secara lebih adil.

Justeru, pendekatan beliau adalah membasmi kemiskinan dan penstrukturan semula ekonomi negara yang mana penentuan dasar ekonomi  harus dianjak daripada melihat projek raksasa kepada projek yang boleh membantu jumlah rakyat terbanyak.

“Keutamaan kita dalam penstrukturan, pemulihan dan menjana ekonomi termasuk bidang ekonomi hijau dan tenaga diperbaharui, soal digital yang merupakan cabaran baharu dan tentunya aspek yang kita tinggalkan dahulu harus diangkat semula seperti perkhidmatan, pelancongan dan industri teknologi tinggi.

“Tumpuan juga diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).  PKS termasuk bumiputera harus diberikan peluang supaya dapat diangkat kedudukan mereka dan tidak dibolot dalam isu perolehan dan juga kontrak-kontrak besar kerajaan.

“PKS membentuk 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan syarikat perniagaan di Malaysia, membayar upah kepada hampir 70 peratus tenaga kerja negara. Perkembangan kemajuan PKS itu lebih bermakna daripada mendukung kelompok konglomerat yang terpilih.

“Saya tidak bermaksud menafikan peluang mereka untuk bersama bersaing tapi dari segi dasar kerajaan mestilah beralih sedikit, anjak daripada pendekatan lama, persaingan dalam kalangan syarikat besar atasan,” katanya. 

Dalam pada itu, Anwar berkata, negara ini tidak boleh dikembangkan dengan membiarkan segolongan daripada rakyat sama ada kaum minoriti atau miskin dari semua kaum atau kawasan pendalaman apatah lagi Sabah dan Sarawak, terus terpinggir dan tersisih.

“Pendekatan kita harus membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan supaya mereka betul-betul hirup udara merdeka di Malaysia ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya