Penduduk lima kampung gelisah, dalam dilema

1,200 penduduk lima kampung gelisah, dilema selepas lebih 60 tahun, tanah dituntut individu yang mendakwa ada geran

PENDUDUK menunjukkan antara kawasan pertanian yang didakwa dibersihkan oleh jentera berat di Kampung Baru Batu 18, Padang Besar, Perlis, semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Lebih 1,200 penduduk membabitkan lima buah kampung di sini dilema dan bimbang selepas kawasan yang dibangunkan sejak lebih 60 tahun itu mula dituntut dalam kalangan individu yang mendakwa mempunyai geran hak milik tanah berkenaan.

Kawasan yang menjadi tuntutan itu membabitkan Kampung Baru Batu 18, Kampung Kubang Nerong, Seri Sepakat, Kampung Padang Wan Nit dan Kampung Seri Kesinai di sini.

Difahamkan penduduk di semua kampung terbabit tidak mempunyai geran tanah tetapi mendakwa diberikan kebenaran oleh kerajaan negeri memba­ngunkan kawasan seluas 80 hektar yang dulunya hutan tebal menjadi tempat kediaman dan pertanian sejak 1960-an, termasuk beberapa kawasan lagi di negeri ini.

Sejak lewat 1980-an mereka sentiasa memohon geran daripada kerajaan negeri dan pejabat tanah ketika itu, namun ditolak apabila mendakwa kawasan itu sudah mempunyai pemilik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Fadzilah Din, 60, yang sudah lebih 55 tahun menetap di Kampung Baru Batu 18 di sini berkata, mereka sudah menetap di situ sejak puluhan tahun lalu dan kebelakangan ini mula ada individu-individu mendakwa mempunyai geran tanah mula menuntut kawasan ini.

“Setiap hari saya susah hati memikirkan masa depan kami. Kami dah usahakan kawasan ini sudah terlalu lama dan apabila sudah dibangunkan menjadi kediaman dan kawasan pertanian, ada orang menuntut. Saya pergi mahkamah sudah dua kali tapi tidak pernah pun berjumpa tuan tanah yang mendakwa tanah berkenaan milik mereka.

Seorang lagi penduduk, Ismail Daut, 52, berkata, dia menetap di kampung berkenaan sejak hampir 35 tahun lalu dan kawasan berkenaan dibangunkan sejak tahun 1960-an.

Dakwanya, dahulu kerajaan dikatakan mengeluarkan satu geran kepada sebuah syarikat atas nama Haji Mokhtar namun tidak diusahakan.

Ujarnya, selepas itu, kerajaan negeri membuka peluang kepada penduduk di situ mengusahakannya termasuk mendirikan kediaman dan kawasan pertanian seperti sawah padi, kebun getah dan lain-lain.

“Selepas itu, syarikat Mokhtar tersebut dimansuhkan dikatakan lewat 1980-an, penduduk mula memohon geran namun tidak berjaya sehingga sekarang.

“Kita was-was cara geran itu dikeluarkan kepada individu-individu yang mendakwa pemilik tanah,” katanya.

Bentuk jawatankuasa siasat asal usul status tanah

 

IZIZAM Ibrahim (duduk tiga dari kanan) mengadakan perbincangan bersama penduduk yang berdepan isu berkaitan geran tanah di Kampung Baru Batu 18, Padang Besar, Perlis, semalam. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD 

 

 

Dalam pada itu sebuah jawatankuasa akan dibentuk bagi menjalankan siasatan secara terperinci berhubung sejarah atau asal usul pemilikan tanah di lima buah kampung di sini yang terlibat dengan masalah berkaitan geran sejak berpuluh tahun lalu.

Jawatankuasa tersebut membabitkan penduduk dan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi yang dike­tuai wakil rakyat kawasan itu, Izizam Ibrahim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Izizam berkata, tanah di lima buah kampung terlibat te­lah diusahakan oleh penduduk se­tempat sejak tahun 1960-an la­gi dan sewajarnya permohonan geran bagi pemilikan itu dipertimbangkan oleh pihak berwajib.

Izizam berkata, beliau tidak ingin menuding jari kepada mana-mana pihak berhubung permasalahan itu dan seharus­nya ia diselesaikan segera memandangkan isu tersebut telah berlanjutan sekian lama.

“Kita akan ambil tanggungjawab dan lihat semula untuk cuba memberi kelulusan geran kepada mereka yang berhak. Disebabkan itu, kita akan bentuk satu jawatankuasa bagi menyiasat sejarah tanah-tanah ini yang sememangnya telah diusahakan penduduk sejak sekian lama,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk terlibat di sini, semalam.

Tambah Izizam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hu­bu­ngan dan Kerjasama Sempadan negeri, menerusi semakan dilakukan pihaknya, permasalahan sedemikian bukan hanya dihadapi lima kampung itu sahaja namun beberapa kawasan lain sekitar negeri ini.

Katanya, permohonan penduduk terlibat bagi mendapatkan geran sewajarnya dipertimbangkan memandangkan mereka telah bertungkus-lumus membangunkan kawasan itu sejak beberapa generasi lalu.
“Tanah-tanah ini telah lama diusahakan oleh penduduk dan mereka sepatutnya mendapat hak mereka yang sekian lama tertangguh,” katanya.

Dalam pada itu, Izizam berkata, pihaknya juga akan membangkitkan isu itu dalam mesyuarat exco akan datang bagi membolehkan permasalahan tersebut mendapat perhatian kerajaan negeri.
“Saya juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli bagi membawakan permasalahan ini untuk mencari jalan penyele­saian segera,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya