Waspada ketika musim cuti sekolah - Utusan Malaysia

Waspada ketika musim cuti sekolah

TIGA kanak-kanak mengisi masa lapang pada cuti sekolah dengan melakukan aktiviti menyauk anak ikan di tali air di Kampung Barat, Ajil, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu bapa dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan ahli keluarga dan anak-anak terutamanya di tempat-tempat riadah seperti pantai, air terjun atau aktiviti yang melibatkan air sepanjang musim cuti sekolah ini.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menjelaskan, banyak kes-kes kejadian dan kemalangan yang melibatkan murid dan pelajar sekolah sama ada di jalan raya mahupun di tempat rekreasi pada tahun-tahun sebelum ini.

Justeru, beliau meminta ibu bapa supaya lebih berwaspada agar dapat bercuti dengan selamat dan aman.

“Sebagai contoh, baru-baru ini dua beradik yang mati lemas di Pantai Chenang, Langkawi disebabkan oleh ombak besar yang menarik semua mangsa ke kawasan lebih dalam.

“Kita harus mempunyai iltizam untuk mengelakkan kemalangan sebegini berlaku lagi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menasihatkan agar murid dan pelajar mematuhi peraturan-peraturan dan segala amaran notis yang dipaparkan di tempat-tempat rekreasi bagi mengelakkan segala risiko.

Bukan itu sahaja, beliau juga mengingatkan pengusaha-pengusaha pelancongan supaya bertanggungjawab ke atas segala aktiviti-aktiviti bercuti di tempat masing-masing agar pelanggan mereka selamat apabila berada di tempat mereka.

“Pekerja dan staf juga harus dilengkapi dengan latihan yang mencukupi bagi menangani sebarang peristiwa yang tidak diingini.

“Kepada mereka yang sedang bercuti dan yang dalam perjalanan ke tempat bercuti, sentiasa berwaspada, utamakan keselamatan dan mematuhi segala peraturan dan amaran yang diberikan oleh pengusaha-pengusaha pelancongan.

“Pihak pengusaha pelancongan pula harus sentiasa peka dan dalam keadaan yang bersedia dalam melakukan kerja mereka. Kita semua perlu mewujudkan budaya keselamatan dan menjadikan nya sebagai cara hidup kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN