Wanita Orang Asli maut dipijak gajah - Utusan Malaysia

Wanita Orang Asli maut dipijak gajah

KAWASAN kebun pisang berdekatan kediaman mangsa, Wak Angkat Yok Tong yang diserang kawanan gajah liar di Kampung Simoi Baru, Pos Betau di Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang wanita Orang Asli maut akibat dipijak kawanan gajah liar di Kampung Simoi Baru, Pos Betau di sini pada awal pagi hari ini.

Akibat kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, Wak Angkat Yok Tong, 39, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 4.40 pagi tentang kematian seorang wanita di kampung itu kerana kawasan kediaman dan kebun pisang diserang oleh kawanan gajah liar.

“Ketika kejadian, mangsa bersama lapan ahli keluarga lain sedang tidur dalam rumah kayu dinding buluh yang kelilingi oleh pokok pisang dan berhampiran kebun getah. Ketika menceroboh kebun pisang di kawasan itu, kawanan gajah liar dipercayai menarik dinding rumah keluarga mangsa dan menyebabkan kediaman berkenaan bergoyang.

“Akibat tarikan serta goyangan yang kuat, kesemua sembilan orang ahli keluarga tersebut tersedar dan masing-masing melarikan diri dalam keadaan gelap,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, selepas berkumpul semula, ahli keluarga berkenaan baharu menyedari mangsa tiada dan kemudiannya berusaha mencari di persekitaran kawasan tersebut.

“Mayat Wak Angkat ditemukan di dalam kawasan pokok pisang berhampiran rumah mereka,” katanya.

Azli berkata, selepas menerima maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Koyan bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa meninggal dunia akibat cedera parah selepas dipijak oleh gajah liar.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk bedah siasat.

Sementara itu, ibu saudara dan juga jiran mangsa, Norfini Ajik, 50, berkata, selepas berbual bersama keluarganya, dia masuk tidur pada pukul 3.30 pagi dan kelazimannya tidak mengesyaki sesuatu malapetaka akan berlaku di kawasan kediaman tersebut.

“Ketika pukul 4 pagi, saya terkejut mendengar jeritan dari rumah mangsa yang jaraknya kira-kira 50 meter dan mendapati beberapa ekor gajah liar berada berdekatan rumah mangsa. Saya mendengar ahli keluarga mangsa meminta supaya lari menyelamatkan diri dalam keadaan yang masih gelap. Saya sekeluarga juga keluar untuk menyelamatkan diri dan lari ke kawasan yang agak jauh dari tempat kejadian,” katanya.

Cerita Norfini, apabila keadaan reda dan kawanan gajah liar meninggalkan kawasan itu, mereka berkumpul berdekatan rumah mangsa dan mendapati anak saudaranya, Wak Angkat tiada bersama mereka.

Katanya, dengan pertolongan jiran sekampung, mereka mencari Wak Angkat dan terkejut melihat keadaan mangsa yang cedera parah dan sudah tidak bernyawa lagi di kebun pisang berdekatan rumah.

Beliau berkata, anak saudaranya mempunyai tiga orang anak lelaki dan empat perempuan tinggal di situ turut ditemani oleh adik iparnya ketika kejadian tersebut.

Menurutnya, dia sedih dengan kehilangan anak saudaranya yang cukup baik hati dan suka membantu ketika susah dan senang.

Jelasnya, kejadian pencerobohan gajah liar ke kampung tersebut pernah dialami beberapa kali, tetapi tidaklah sampai mengancam nyawa seperti kejadian awal pagi hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.