Usul undi percaya: Kewibawaan Anwar diuji

Usul undi percaya: Kewibawaan Anwar diuji

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perlembagaan Persekutuan menetapkan sebarang cabaran terhadap kewibawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada beliau mempunyai kepercayaan majoriti atau tidak daripada ahli Dewan Rakyat boleh diuji selepas pelantikannya.

Bercakap kepada Mingguan Ma­laysia, Pakar Perlembagaan da­ri Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, kepercayaan itu boleh dibuktikan sama ada melalui proses undi percaya di Parlimen, jumlah sokongan akuan bersumpah (SD) atau kaedah lain yang boleh memuaskan hati Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, jika tiada usul tidak percaya dikemukakan oleh ahli Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri, itu juga menunjukkan kepercayaan majoriti sudah dimiliki oleh Perdana Menteri.

“Ramai yang khilaf apabila men­dakwa sistem demokrasi di Malaysia adalah warisan dan identikal dengan demokrasi Westminster.

“Demokrasi di Malaysia hanya berlaku setakat yang diizinkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Pada hakikatnya demokrasi itu bermaksud kedaulatan rakyat atau dalam maksud lain kuasa tertinggi negara yang terletak pa­da rakyat yang diterjemah melalui sistem berparlimen,” katanya di sini semalam.

Anwar sebelum ini berkata, beliau yakin mendapat sokongan dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat dalam sidang khas Parlimen Isnin ini.

Perdana Menteri berkata, ke­yakinan itu berdasarkan ko­mit­men yang diberikan ketua-ketua parti seperti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Warisan.

Justeru, beliau yakin akan dapat meneruskan pentadbiran kerajaan dengan baik daripada sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen menerusi usul undi percaya menjelang Sidang Khas Parlimen yang diusulkan sendiri Anwar selepas dilantik Perdana Menteri.

Menurut Wan Ahmad Fauzi, Kerajaan Perpaduan adalah tema bagi kerajaan Yang di-Pertuan A­gong Malaysia pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana tiada parti atau gabungan parti tunggal yang memperoleh kerusi majoriti mudah.

Katanya, ia memerlukan gabu­ngan baharu dibentuk untuk me­nubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan yang stabil, berwibawa dan berintegriti bagi menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.

Konsep itu berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang melalui kerjasama erat antara blok kerajaan dengan blok pembangkang.

Kata beliau, Perkara 39 Perlembagaan menunjukkan peranan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya tidak hanya bersifat istiadat, tetapi menyentuh hak kuasa eksekutif Persekutuan yang diamanahkan di atas bahu Seri Paduka.

“Dalam keadaan yang berlaku baru-baru ini sebelum pelantikan Perdana Menteri ke-10, Seri Paduka boleh mengulangi konvensyen yang pernah berlaku ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik oleh baginda, atau kaedah lain yang difikirkan wajar mengikut kebijaksanaan dan keperluan semasa.

“Dengan kata lain, Yang di-Pertuan Agong tidak terikat secara mutlak untuk hanya melantik pengerusi gabungan, presiden parti atau poster boy sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk mengharungi cabaran ekonomi yang lebih mencabar pada tahun mendatang.

“Jika berulang kejatuhan Jemaah Menteri kerajaan akibat undi tidak percaya maka penyelesaian terakhir ialah melalui pembubaran semula Parlimen untuk PRU baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN