Usah buat untung import ayam, telur

Usah buat untung import ayam, telur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekurangan be­kalan dan kenaikan harga melibatkan ayam dan telur tidak harus ditangani dengan pengimportan bekalan dari luar negara kerana ia seolah-olah menunjukkan kerajaan hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Kamarudin Md. Isa menjelaskan, tindakan mengimport bekalan hanya akan menguntungkan pengimport dan pihak kerajaan hasil daripada jualan di pasaran dan permit import.

Sebaliknya kata beliau, pe­ngeluar tempatan pula terus dipersalahkan manakala pengguna tidak dapat menikmati harga yang berpatutan.

“Kita sudah ada berapa banyak menteri tetapi tidak ada seorang pun yang benar-benar berjaya tangani isu ini. Isu ini pula se­ring dipolitikkan. Kita perlukan menteri yang betul-betul faham industri ini, bagaimana untuk tangani masalah dihadapi bukannya jadi oportunis. Hanya fikir dari sudut bisnes semata-mata dengan bawa masuk import.

“Tindakan import ini adalah mengarut, malah ada yang salahkan pengeluar tempatan, tuduh mereka kartel. Ini juga tidak membantu sedangkan kita ada undang-undang. Kita perlu berbalik kepada polisi dan dasar, cari penyelesaian tetapi apa yang paling penting, kita benar-benar perlukan menteri yang bijak,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama katanya, jabatan yang diterajuinya sebelum ini sentiasa memastikan pengembangan pengeluaran ternakan berada di tahap efisien, namun usaha itu akan terjejas dengan tindakan mengimport ayam dan telur secara besar-besaran dari luar negara.

“Apabila bekalan ayam dan telur ambil dari luar negara, kalau harga jadi mahal, ia tidak terjual di pasaran tapi kementerian terus melindungi pihak pengimport bukan pihak pengeluar tempatan,” ujarnya.

“Kementerian sepatutnya kaji semula proses pengeluaran, berapa banyak sebenarnya yang boleh dihasilkan dan berapa kos yang perlu ditanggung oleh pengeluar. Ini kegagalan kementerian kerana mereka seolah-olah melihat pihak pengeluar sebagai musuh bukan pemegang taruh,” katanya.

Beliau bagaimanapun mahu kementerian memastikan harga ayam dan telur yang dikawal tidak terlalu rendah kerana ia boleh menjejaskan pendapatan pengeluar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN