Tiga penyamun tak sempat 'joli', dicekup kurang 24 jam - Utusan Malaysia

Tiga penyamun tak sempat ‘joli’, dicekup kurang 24 jam

ANTARA barangan rampasan daripada tiga lelaki yang ditahan selepas melakukan rompakan di Masai dan Ulu Tiram, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki tidak sempat ‘berjoli’ hasil rompakan apabila ditahan polis pada hari sama selepas melakukan jenayah itu di sebuah hotel dan kedai serbaneka di Masai dan Ulu Tiram, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 23 dan 24 tahun itu ditahan di sekitar Pasir Gudang.

“Polis menerima laporan yang dibuat pekerja kaunter hotel dan juruwang kedai serbaneka berkenaan yang masing-masing berusia 37 dan 48 tahun. Menurut pengadu, kejadian samun tersebut berlaku pada pukul 4 hingga 5 pagi dan semasa kejadian mangsa disamun dua lelaki tempatan yang bersenjatakan parang.

“Seorang daripada suspek mengacukan parang ke arah mangsa selain melarikan barangan berharga, antaranya telefon bimbit jenama Vivo Y15 dan wang tunai berjumlah RM750,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Sohaimi berkata, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota membuat serbuan di sekitar Pasir Gudang sebelum menahan suspek antara pukul 10 hingga 11.30 malam, hari sama.

“Semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan lapan rekod dadah termasuk rekod orang yang dikehendaki. Dua buah motosikal, dua topi keledar, lima helai jaket, sebilah parang, tiga pasang kasut dan dua telefon bimbit turut dirampas daripada suspek,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya