IPOH: Kerajaan negeri mengenal pasti tiga laluan yang sangat kritikal dan berisiko berlaku tanah runtuh jika hujan lebat dan di luar jangka.
Ia melibatkan Jalan Tapah – Cameron Highlands, Jalan Baling – Gerik dan Jalan Simpang Pulai – Blue Valley, Cameron Highlands.
Pada masa sama, terdapat 239 lokasi cerun yang dikategorikan sebagai risiko sangat tinggi, 211 lokasi berisiko tinggi, 642 lokasi berisiko sederhana, 777 risiko rendah dan 1,562 lokasi sangat rendah.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, bagaimanapun menjelaskan pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati tiada lokasi yang berpotensi berlaku kejadian seperti di Batang Kali, Selangor, baru-baru ini.
“JKR telah memasang sensor dan tolok hujan di lokasi-lokasi cerun kritikal tersebut dan ia dapat memberi amaran awal kepada agensi itu untuk tindakan pemantauan dan tindakan kecemasan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, tiga laluan tersebut masih boleh digunakan seperti biasa dan pemantauan khusus JKR dalam tempoh musim tengkujuh sehingga Mac tahun depan supaya pengguna tidak merasa gusar dan bimbang untuk melalui jalan tersebut.
Begitupun, nasihat beliau agar pengguna jalan raya berhati-hati dan sentiasa berwaspada terutama jika ada tanda-tanda seperti banyak batu jatuh atas jalan raya dan banyak haiwan liar melarikan diri, serta tidak berhenti lama di mana-mana lokasi ketika melalui jalan raya tersebut.
Menurut beliau, pemantauan juga dilakukan di kawasan tumpuan pelancongan yang terletak di kawasan cerun berisiko tinggi seperti di Lata Iskandar yang terletak di laluan Tapah – Cameron Highlands.
“Setakat ini, kita belum lagi sampai ke tahap menutup laluan atau lokasi pelancongan berkaitan tetapi tumpuan pemantauan di kawasan terbabit, contohnya, laluan dari Tapah ke Ringlet sering berlaku tanah runtuh jika hujan lebat, jadi JKR beri tumpuan lebih sedikit di situ,” ujar beliau.
Beliau menjelaskan, JKR turut membekukan cuti pegawai dan kakitangan terlibat yang terdiri daripada sembilan orang bagi setiap daerah, sehingga Mac tahun depan.
Mohammad Nizar turut memberikan senarai lokasi mengikut tahap risiko bagi Jalan Persekuuan yang terlibat iaitu di daerah Batang Padang terdapat 128 lokasi risiko sangat tinggi dan 59 lokasi risiko tinggi khususnya di Jalan Tapah – Cameron Highlands.
Di daerah Hulu Perak iaitu Jalan Baling -Gerik terdapat 40 lokasi berisiko sangat tinggi dan 28 lokasi risiko tinggi.
Di daerah Kuala Kangsar, Jalan Kuala Kangsar -Gerik – Pengkalan Hulu (empat lokasi risiko sangat tinggi, lima lokasi risiko tinggi); Jalan Masuk ke Felda Lepang Nenering (11 lokasi risiko sangat tinggi, empat lokasi risiko tinggi) dan Jalan Lepang Nenering 1 dan 2 (sembilan lokasi risiko sangat tinggi, tujuh lokasi risiko tinggi).
Di daerah Kinta, Jalan Simpang Pulai – Blue Valley (26 lokasi risiko sangat tinggi); Jalan Masuk ke Stesen VHF Bukit Klendang (10 lokasi risiko sangat tinggi, 28 lokasi risiko tinggi).
Di daerah Larut Matang Selama, Jalan Masuk ke Stesyen VHF Bukit Naga dan Jalan Masuk ke Stesen VHF Bukit Larut (tujuh lokasi risiko sangat tinggi, 68 lokasi risiko tinggi). – UTUSAN










