KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia tidak pernah mencurigai bahawa kemasukan wang dalam jumlah yang besar dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak adalah daripada sumber haram.
Ini kerana ia membabitkan akaun milik seorang Perdana Menteri.
Menurut Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, ketuanya pada ketika itu Pengarah Urusan Kumpulan Ambank, Cheah Tek Kuang Chia juga tidak curiga mengenai sumber wang berkenaan.
Walaupun begitu, saksi pendakwaan ke-41 itu masih lagi meminta pengesahan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low atau pemegang mandat akaun Najib, iaitu Ketua Pegawai Pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Nik Faisal Ariff Kamil mengenainya.
“Mereka kata ia adalah hadiah dan ada surat sokongan berhubung dana itu,” katanya.
Ging Ping berkata demikian dalam perbicaraan kes Najib, 69, sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Sementara itu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib membantah terhadap permohonan Muhammad Shafee untuk menandakan surat dan dokumen berkenaan derma Arab Saudi sebagai eksibit.
Ini kerana Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. sudah memutuskan bahawa surat mengenai hadiah dan derma daripada Arab Saudi adalah palsu.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, mahkamah terdahulu telah membuat dapatan bahawa tujuh surat dan dokumen mengenai derma terbabit adalah palsu.
“Dokumen palsu tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah,” katanya.
Pada 9 Disember 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan ketika mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib menyifatkan bahawa kisah derma Arab itu hanyalah rekaan yang langsung tidak mempunyai kredibiliti, bercanggah dengan keterangan berdokumen dan turut menyifatkannya sebagai ‘lebih dongeng daripada kisah Hikayat Seribu Satu Malam’.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok dengan pihak-pihak diminta berhujah lanjut mengenai kemasukkan surat dan dokumen itu sebagai bukti. – UTUSAN