Tiada SOP khusus tapak perkhemahan - Exco - Utusan Malaysia

Tiada SOP khusus tapak perkhemahan – Exco

SOP perkhemahan
NG Sze Han pada sidang akhbar khas dekat Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam, Selangor hari ini. - FOTO / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mengakui tiada peruntukan khas dalam undang-undang atau syarat khusus bagi pengusaha-pengusaha tapak perkhemahan di negeri ini bagi menjalankan aktiviti rekreasi tersebut.

Situasi tersebut juga berlaku kepada pengusaha tapak perkhemahan Father’s Organic Farm (FOF) yang terlibat dengan tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada tengah malam Khamis lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Selangor, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, bagaimanapun Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) akan memanggil pengusaha FOF dan tapak perkhemahan lain bagi menerangkan garis panduan penganjuran aktiviti perkhemahan yang selamat.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mengadakan bancian terhadap pengusaha-pengusaha tapak perkhemahan bagi memeriksa sama ada mereka mempunyai lesen perniagaan atau tidak.

“Kami akan membuat garis panduan aktiviti perkhemahan yang diadakan di kawasan lereng bukit, hutan, tepi sungai dan tepi laut selepas kita selesai membuat bancian terhadap aktiviti jenis serta jumlah aktiviti perkhemahan di negeri ini.

“Apa yang penting ketika ini kita nak pastikan semua pengusaha tapak perkhemahan sudah lesen perniagaan bagi menjalankan perniagaan aktiviti tersebut,” katanya dalam satu sidang akhbar khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini, hari ini.

Beliau turut menjelaskan, FOF pernah membuat permohonan untuk membina sebuah pusat peranginan (resort) pada tahun 2019, namun hanya Kebenaran Merancang (KM) diberikan kepada mereka yang akan tamat pada Jun hadapan.

Malah, Sze Han turut memaklumkan kedudukan FOF akan ditentukan oleh polis sama pemilik tapak perkhemahan itu bertanggungjawab ke atas kerugian yang dialami mangsa tragedi tanah runtuh di kawasan mereka atau sebaliknya.

Jelasnya lagi, hal tersebut di luar bidang kuasa kerajaan negeri, justeru kerajaan negeri tidak boleh membuat keputusan berhubung perkara ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim memaklumkan beliau akan mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) khas tapak perkhemahan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan PBT di Selangor.

Sementara itu, Sze Han memaklumkan bahawa terdapat 61 tapak perkhemahan di bawah kawasan pentadbiran MPHS. 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan semua operator tapak perkhemahan di Selangor akan dibenarkan beroperasi semula pada Jumaat ini, selepas kerajaan Pusat membekukan operasi aktiviti tersebut Jumaat lalu.

“Namun, pengusaha tapak ini harus pastikan bahawa kawasan mereka selamat sebelum mereka membuka tapak perkhemahan mereka kepada orang awam,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya