ALOR GAJAH: Sebuah restoran yang menyediakan masakan berasaskan belangkas di Kuala Linggi dekat sini terpaksa mencatu bekalan demi memastikan pelanggan yang datang dapat menikmati haiwan eksotik itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Restoran Citarasa Belangkas, Azizi Buyaman, 29, berkata, dia terpaksa mengambil langkah tersebut bagi mengelakkan bekalan belangkasnya terputus susulan hasil tangkapan nelayan yang kian berkurangan.
Menurutnya, buat masa sekarang, penyimpanan belangkas secara sejuk beku perlu dibuat untuk mengekalkan kesegaran telur dan isi hidupan laut itu dalam tempoh yang lama.
“Saya tidak mempunyai masalah bekalan sebelum ini kerana ada pembekal tetap menghantar sehingga 100 ekor belangkas sehari. Tetapi, jumlah itu semakin berkurangan walaupun pada musim belangkas naik ke pantai.
“Saya terpaksa menyimpan bekalan untuk memastikan pelanggan yang datang dari jauh berkesempatan menikmati juadah istimewa ini. Saya mengehadkan belangkas yang boleh dipesan berdasarkan jumlah pelanggan, kalau ramai saya akan bagi seekor setengah atau seekor.
“Ada konvoi bermotosikal yang sanggup membawa sendiri belangkas dari luar Melaka selepas saya memberitahu tiada bekalan di kedai. Saya juga pernah dimarahi pelanggan yang mempersoalkan nama Restoran Citarasa Belangkas, tetapi tiada belangkas,” katanya ketika ditemui.
Tambah Azizi, dia berusaha sehabis boleh mendapatkan belangkas di sekitar Negeri Sembilan, namun, peraih di sana juga tidak mempunyai lebihan bekalan.
Katanya, harga belangkas kini mencecah RM20 seekor didorong oleh permintaan tinggi, kekurangan bekalan dan persaingan harga antara pemborong.
“Sebelum ini, saya beli seekor belangkas pada harga RM4, kemudian harga naik sedikit demi sedikit atas permintaan nelayan sehingga RM10 seekor. Saya tidak mampu untuk menawarkan harga lebih tinggi kerana mengecilkan margin keuntungan.
“Saya juga tidak boleh halang mereka untuk jual kepada orang lain, itu hak mereka. Saya paling bimbang jika terputus bekalan lagi kerana kekurangan belangkas menjadikan haiwan itu sangat bernilai,” ujarnya. – UTUSAN











