PETALING JAYA: Elemen pilihan raya perlu sekadar diterapkan dalam silibus subjek tertentu sedia ada seperti subjek bahasa, sejarah serta sivik dan bukannya memerlukan satu subjek khusus untuk memantapkan pengetahuan anak muda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, penerapan unsur pilihan raya dalam subjek tertentu itu dilihat tidak terlalu berat kepada pelajar terutamanya guru untuk mengajar.
Beliau berkata, ini kerana sebarang kewujudan subjek baharu hanya menimbulkan masalah tambahan.
“Misalnya dalam subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Sivik boleh dimasukkan beberapa elemen berkaitan pilihan raya.
“Jadi asas-asas demokrasi, elemen seperti mengapa adakan pilihan raya, bagaimana memilih calon dan risiko pengundi sekiranya silap memilih adalah antara elemen yang boleh dimasukkan.
“Yang penting adalah memberi kefahaman kepada anak-anak muda tentang proses pilihan raya dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi apabila berusia 18 tahun nanti,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengulas polemik tentang kesedaran yang rendah dalam kalangan pengundi muda terhadap proses penjalanan pilhan raya negara, Alimuddin berkata, pemantapan Undi18 juga dapat diterapkan dengan adanya konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) kerana konsep itu tertumpu kepada pengajaran berasaskan pelajar dan bukan hanya guru semata-mata.
“Jadi elemen pilihan raya itu boleh juga disisipkan dalam aktiviti seperti forum, perbincangan dan syarahan yang mana pelajar akan terlibat dalam proses mencari bahan.
“Oleh itu, cara ini juga boleh memberi kemahiran kepada pelajar seperti kemahiran mencari maklumat dan menulis, tetapi pengisian pilihan raya.
“Kita boleh juga mula di sekolah rendah, tetapi dengan cara yang mudah dengan berbincang bersama-sama murid-murid supaya pelajar dapat maklumat berkaitan elemen itu,” katanya.
Senada dengan beliau, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, penerapan unsur pilihan raya itu boleh dinyatakan dalam kurikulum subjek tertentu.
Jadi pihak kpm boleh rangka atau menilai dan keluarkan surat pekeliling tema mana yang lebih bersesuaian untuk memasukkan elemen itu,” katanya. – UTUSAN










