Tengok imej kemaluan lelaki buatkan saksi kemurungan

Tengok imej kemaluan lelaki buatkan saksi kemurungan-Firdaus Wong

FIRDAUS WONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Saksi pendakwaan, Firdaus Wong Wai Fung, 39, memberitahu mahkamah bahawa mengendalikan kes gangguan seksual membuatkannya mengalami kemurungan.

“Sejak terima kes (gangguan seksual) ini dan lihat banyak mesej dan gambar kemaluan lelaki, saya sendiri yang merupakan seorang lelaki tertekan dan sukar untuk tidur malam kerana imej-imej itu sering berlegar dalam minda,” katanya semasa menjawab soalan pemeriksaan balas peguam bela mewakili Ebit Lew di Mahkamah Majistret hari ini.

Ram bertanya mengenai mesej ‘Amaran!! keburung-burungan’ yang dihantar oleh saksi menerusi aplikasi Whatsapp dalam kumpulan dinamakan sebagai ‘NOBODY’ pada 28 Julai 2020, pukul 12.16 pagi.

Dalam mesej itu, Firdaus menyatakan beliau melakukan kesilapan ejaan menyatakan keburung-keburungan namun, perkataan yang dimaksudkan adalah kemurungan.

Ram turut mempersoalkan beberapa kenyataan Firdaus yang disifatkan bercanggah dengan keterangan yang diberikan semasa menjawab pertanyaan pihak pendakwaan.

Kenyataan peguam bela itu bagaimanapun dibantah oleh pihak pendakwaan yang meminta peguam bela mengemukakan kenyataan bertulis mengenai dakwaan jawapan bercanggah yang dimaksudkan.

Menjawab pertanyaan Ram, mengapa Multiracial Reverted Muslim (MRM) membayar semua perbelanjaan ke Kuala Lumpur bagi membuat laporan polis di Bukit Aman, Firdaus menyatakan mereka menyerahkan kepada pengadu untuk buat keputusan.

Firdaus yang juga Pengasas dan Presiden MRM memaklumkan mahkamah bahawa mereka telah menasihatkan pengadu untuk buat laporan di sini namun, terpulang kepada pengadu apa keputusan yang mereka mahu ambil.

“Pengadu memaklumkan menerusi saksi pertama iaitu Akhi Fairuz bahawa beliau mahu buat laporan polis di Bukit Aman maka, MRM hanya menjadi pemudahcara bagi membantu pengadu,” katanya.

Saksi ketiga pihak pendakwaan itu juga menafikan bahawa beliau dan MRM meyakinkan pengadu untuk membuat laporan polis di Bukit Aman kerana beliau tidak pernah berjumpa dengan pengadu sebelum laporan polis dibuat.

Jadi, tidak logik untuk beliau mahupun MRM memujuk pengadu untuk membuat laporan polis di Bukit Aman dan bukannya di Balai Polis Tenom.

Peguam bela juga mendakwa saksi berbohong kepada mahkamah apabila menyatakan melihat sendiri mesej dan gambar dari telefon bimbit pengadu sedangkan pengadu telah menyerahkan telefon bimbit kepada pihak polis semasa membuat laporan di Balai Polis Bukit Aman pada 7 Ogos 2021, pukul 2.55 petang.

Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021. Kes didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

 

Kes dibicarakan di hadapan Majistret, Nur Asyraf Zolhani dan pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Nur Masrin Amalia manakala, Ebit diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut.

Perbicaraan kes Ebit bersambung esok pada pukul 10 pagi bagi meneruskan pemeriksaan balas daripada pihak pembelaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya