MIAMI: Uruguay akan berdepan cabaran sukar menentang Cape Verde dalam aksi kedua Kumpulan H Piala Dunia 2026 yang dijangka berlangsung dalam suasana penuh taktikal dan berhati-hati.
Perlawanan ini menjadi tumpuan selepas kedua-dua pasukan sekadar mencatat keputusan berbeza pada aksi pembukaan dengan Uruguay diikat 1-1 oleh Arab Saudi manakala Cape Verde mencuri perhatian apabila mengikat Sepanyol tanpa jaringan.
Uruguay yang dibimbing Marcelo Bielsa memerlukan kemenangan bagi menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya selepas permulaan hambar dalam perlawanan pertama.
Skuad La Celeste itu dikecam kerana bermula perlahan sebelum bangkit menguasai permainan, namun ketumpulan penyudah menyebabkan mereka terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
Cape Verde pula muncul sebagai pasukan kerdil yang paling mendapat perhatian apabila mempamerkan disiplin bertahan tinggi ketika mengekang asakan Sepanyol.
Pasukan ranking ke-67 dunia itu dijangka sekali lagi menggunakan pendekatan bertahan dengan formasi blok rendah serta menumpukan kepada serangan balas pantas.
Penjaga gol veteran, Josimar Vozinha menjadi watak penting Cape Verde apabila melakukan beberapa aksi menyelamat penting dalam perlawanan pertama.
Uruguay dijangka memberi tekanan lebih awal dengan kekuatan barisan tengah yang diketuai Federico Valverde serta Rodrigo Bentancur bagi menguasai tempo permainan.
Bielsa percaya pasukannya mampu memecahkan benteng Cape Verde yang dijangka berkampung di kawasan sendiri sepanjang perlawanan. – AGENSI/UTUSAN










