Telur mahal, roti telur Warung Beca kekal RM2

Telur mahal, roti telur Warung Beca kekal RM2

SEORANG penebar roti canai menyiapkan hidangan roti telur di Warung Beca Pokok Mangga, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rata-rata peniaga roti canai di negeri ini masih mengekalkan harga sedia ada RM2 sekeping untuk hidangan roti telur, meskipun bekalan bahan utama untuk menu itu terus melambung dan sukar diperoleh di pasaran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Warung Beca Pokok Mangga, Aziz Hamzah berkata, dia mengambil keputusan kekal dengan harga RM2 walaupun mengakui turut terkesan dengan situasi semasa.

Katanya, dia memilih tidak menaikkan harga roti telur kerana memikirkan majoriti pelanggannya adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah.

“Saya kekal dengan harga RM2 sekeping kerana pelanggan saya rata-rata dalam kalangan B40. Kalau naikkan harga ini mungkin memberi kesan kepada perniagaan saya,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, peniaga roti canai di beberapa negeri mengeluh apabila terpaksa menaikkan harga roti telur di kedai mereka ekoran krisis bekalan telur ketika ini.

Mereka mendakwa perlu menggunakan ‘telur kayangan’ berharga RM1 sebiji berbanding 56 sen sebelum ini untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga di Tanjung Kling, Zulfakri Abd. Razak berkata, sebelum ini dia pernah menaikkan harga roti telur daripada RM2 kepada RM3 dan roti sarang burung daripada RM6 kepada RM7, ekoran kenaikan harga minyak masak, bawang serta tepung sejak awal tahun ini.

Namun, jelasnya, harga berkenaan diturunkan semula kepada asal berdasarkan situasi bahan mentah yang kembali stabil di pasaran.

“Memang saya akui harga telur di pasaran tempatan melambung daripada RM12 kepada RM18.40 satu papan, itu bagi gred C selain bahan ini sukar diperoleh dengan kuantiti yang banyak.

“Naik pening kepala saya berniaga saban hari terpaksa mencari telur tetapi sering kali tidak cukup. Sehari saya guna 15 papan tetapi kuantiti itu tidak dapat sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya