KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Sarah Liyana, 40, meluahkan rasa terkilan apabila jenakanya mengenai jet peribadi sewaktu terkandas di Jakarta sebelum ini dijadikan bahan sindiran dan kecaman sesetengah pihak di media sosial.
Puteri Sarah berkata komen berkenaan hanyalah lawak yang dikongsikan dengan rakan namun diperbesarkan dan dijadikan isu sehingga membuka ruang untuk netizen mengecamnya
“Ketika kejadian, saya bersama sahabat saya, Sudyr Tahir antara yang terkandas di Jakarta susulan letusan gunung berapi itu. Banyak penerbangan dibatalkan Namun sudyr memaklumkan dia berjaya menempah tiket penerbangan pulang ke Kuala Lumpur keesokan harinya.
“Jadi saya berkongsi lawak mengenai jet peribadi dengan rakan di laman Thread namun ianya diperbesarkan pihak lain.
“Pihak tersebut menyindir dan memperbesarkannya. Saya kesal kerana jenaka saya itu digunakan untuk menyindir saya dan membuka ruang untuk orang mengutuk saya. Padahal perkongsian itu bukan untuk umum, hanya antara saya dan sahabat saya sahaja.
“Kalau ikut logik, tidaklah ada jet peribadi untuk membawa kami pulang ke Malaysia. Jadi, sekali lagi saya tegaskan, itu sekadar jenaka yang dikongsi dengan rakan,” katanya.
Terdahulu, Puteri Sarah menanggung kecaman dan sindiran netizen, termasuk dikatakan bodoh kerana memuat naik lawak jenaka kononnya muncul jet peribadi untuk membawa dia pulang ke tanah air susulan letusan Gunung Berapa Anak Krakatau yang mengakibatkan banyak penerbangan dibatalkan.
Namun muncul pihak yang menyindirnya dengan menyatakan beliau sebagai kurang cerdik kerana membuat lawak berkenaan.
Puteri Sarah memberitahu pihak tersebut telah menghubunginya dan memohon maaf kerana memperbesarkan isu tersebut.
Bagaimanapun, beliau hanya reda dan mampu berlapang dada kerana sudah pun menanggung kecaman netizen susulan tindakan pihak itu yang memperbesarkan isu berkenaan.
“Pihak yang menyindir tampil memohon maaf. Tapi sudah terlambat kerana netizen telah pun menyerang saya, menggelarkan saya artis bodoh dan sebagainya.
Perkara pun sudah berlaku,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon drama Hijrah Jannah itu berkemungkinan akan berehat daripada menggunakan Thread mengenangkan terlalu banyak perkara toksik yang menyelubungi platform berkenaan.
“Saya mulai takut menggunakan Thread kerana netizen akan serang apabila kita melontarkan pandangan.
“Adakalanya, perkongsian kita itu adalah ditujukan kepada diri sendiri, bukan untuk orang lain. Tapi netizen menjadikan ianya satu isu.
“Saya rasa selepas ini saya mahu berehat seketika daripada menggunakan Thread kerana terlalu banyak perkara toksik dan menakutkan dalamnya,” kongsinya. – UTUSAN











