Tanah runtuh: MB Selangor ucap takziah - Utusan Malaysia

Tanah runtuh: MB Selangor ucap takziah

Tanah runtuh
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengucapkan takziah terhadap mangsa dan ahli keluarga yang terkorban tragedi tanah runtuh dekat Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali – Genting, malam tadi.

Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, seramai 94 orang dikenal pasti menjadi mangsa dan 60 daripadanya dilapor berjaya diselamatkan.

Amirudin berkata, beliau mengambil maklum perkara itu mendapati seramai 12 mangsa terkorban yang terdiri daripada tiga kanak-kanak dan sembilan dewasa.

“Sehingga jam 12:00 tengah hari ini, didapati bahawa 94 orang mangsa berada di kawasan tersebut dan 60 orang yang melibatkan 46 pengunjung serta 14 pekerja berjaya diselamatkan.

“Operasi mencari dan menyelamat sedang giat diteruskan dengan melibatkan 446 anggota yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor. (Pasukan ini) turut dibantu oleh anggota daripada semua agensi kerajaan.

“Pihak kerajaan Selangor melalui Unit Pengurusan Bencana Negeri akan menyelaras lagi beberapa agensi berkaitan supaya mangsa yang masih hilang dapat ditemui sesegera mungkin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan mengerah lebih banyak agensi di bawah kendaliannya bagi membantu pasukan penyelamat mencari mangsa yang belum ditemui dalam tragedi mutakhir itu.

“Beberapa agensi daripada kerajaan negeri telah turun ke lokasi kejadian pagi ini bagi mengkordinasi segala bantuan yang diperlukan. Saya ingin mengucapkan takziah kepada 12 keluarga mangsa yang telah meninggal dunia akibat tragedi berkenaan.

“Saya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun ke lokasi kejadian (bagi meninjau kawasan tragedi),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya