Tambah frekuensi tren LRT perlu sokongan sistem dan teknikal - Anthony Loke - Utusan Malaysia

Tambah frekuensi tren LRT perlu sokongan sistem dan teknikal – Anthony Loke

ANTHONY Loke ketika mencuba sendiri perkhidmatan LRT. - FB ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) akui bukan mudah untuk menambah frekuensi dan kekerapan tren Transit Aliran Ringan (LRT) kerana ia perlu disokong oleh sistem dan teknikal.

Menterinya, Anthony Loke berkata, beliau tidak mahu buat keputusan terburu-buru dalam isu kesesakan LRT itu sebaliknya mahu memahami keadaan sebenar yang berlaku.

“Kami semestinya berharap supaya dapat meningkatkan kekerapan tren sedia ada bagi mengatasi isu kesesakan tetapi ia mungkin akan berdepan dengan cabaran teknikal. Kita perlu pastikan adakah tren kita mencukupi dan adakah sistem sedia ada boleh menghadapi kekerapan tren yang lebih kerap.

“Kami sudah tentu mahu frekuensi tren yang lebih kerap terutama pada waktu puncak namun, ada kalanya sistem dan stesen terganggu serta tergendala,” katanya dalam sidang akhbar sempena hari pertama tugasan rasminya di MOT, hari ini.

Katanya, beliau akan bertemu dengan pengendali LRT, Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) minggu ini bagi meneliti isu kesesakan dihadapi perkhidmatan itu ketika ini.

Loke berkata, sebagai menteri bertanggungjawab, beliau akan membantu Prasarana jika mereka menghadapi apa-apa kekangan demi memastikan keselesaan kepada pengguna.

Menurutnya, beliau sempat meninjau operasi tren LRT petang semalam dan mendapati frekuensi tren adalah setiap lima minit namun, ia kadangkala tergendala.

“Ketika berada di stesen KLCC semalam, saya dapati ada tren yang terpaksa berhenti di atas platform selama lima minit kerana tidak boleh bergerak disebabkan ada tren yang masih sangkut.

“Saya menaiki LRT semalam bagi memahami keadaan sebenar dihadapi pengguna. Saya menyamar sebagai penumpang dan misi itu berjaya. Saya pakai topi dan pelitup muka dan tidak ada orang kenal saya. Memang saya nak merasai apa penumpang lain rasa. Saya biasa guna LRT dan bukan sebab jadi menteri baru nak naik. Ada netizen kata saya buat-buat berlakon dan itu tidak benar,” katanya.

Semalam, Loke meninjau dan menilai situasi sebenar perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya tanpa pengetahuan Prasarana. Dalam kemas kini di Facebook semalam, Loke memaklumkan beliau membuat tinjauan itu sendirian semasa waktu puncak, antara jam 5 hingga 7 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya