Exists ‘Memento Mori’ himpunkan tujuh figura utama Ogos ini - Utusan Malaysia

Exists ‘Memento Mori’ himpunkan tujuh figura utama Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga dekad mengukir nama dalam industri muzik tanah air, kumpulan legenda Exists kembali mencipta momen istimewa menerusi konsert berskala besar, Exists Memento Mori yang bakal berlangsung di Unifi Arena Bukit Jalil pada 1 Ogos depan.

Mengangkat falsafah frasa Latin “memento mori” yang membawa maksud menghargai setiap detik kehidupan, konsert ini dilihat sebagai manifestasi perjalanan seni Exists yang penuh warna daripada fenomena lagu Untukmu Ibu, melalui fasa suram, sehinggalah kembali relevan dalam arus muzik semasa.

Lebih menarik, konsert ini bakal menggabungkan tujuh figura utama Exists iaitu Mohd Radzi Abdul Wahid (Along Exists), Ujang Exists, Musa Exists, Ajai, Shah Exists serta dua vokalis ikonik mereka, Mamat Exists dan Ezad Lazim yang jarang tampil sepentas dalam satu persembahan.

Menurut wakil penganjur, ICON Entertainment, konsert tersebut bukan sekadar hiburan, sebaliknya satu bentuk apresiasi terhadap legasi Exists yang kekal bertahan selama 35 tahun.

“Mengekalkan usia 35 tahun dalam industri hiburan terutama beberapa dekad kebelakangan ini dengan pasaran yang tidak menentu bukan hal yang mudah.

“Tapi Exists, seperti maksud namanya wujud, kekal bertahan meski sempat redup kemudian menjadi relevan semula dalam pasaran bukan hanya kerana sikap tetapi karya-karya berkualiti yang pernah dihasilkan sebelum ini.

“Justeru ICON Entertainment sangat berbesar hati membawakan komsert ini sebagai apresiasi dan menghargai setiap momen yang pernah dan sedang Exists hadirkan kepada peminat muzik di Nusantara,” ujar Iman Tang dari Icon Entertainment.

Tambahnya, Exists Memento Mori juga diangkat sebagai ‘anugerah’ buat peminat kerana himpunan lagu yang bakal dipersembahkan bersifat ‘sing along’ dan dekat di hati pendengar.

“Repertoire yang dimiliki kumpulan ini sangat kuat dan banyak. Saya dapat bayangkan suasana ketika konsert nanti penonton akan menyanyi bersama. Saya rasa inilah momen yang kita boleh nikmati dengan ke semua anggota kumpulan yang ada,” katanya.

Sementara itu, Along mewakili Exists menyifatkan konsert berkenaan sebagai simbol kekuatan kumpulan tersebut yang bertahan hasil kerjasama dan saling menghormati antara anggota.

“Walaupun ada dalam kalangan anggota Exists yang keluar lalu menubuhkan kumpulan lain atau Exists berdepan kontroversi terkait vokalis, semua anggota menghormati satu sama lain. Kami letakkan perbezaan pendapat dan peribadi di luar konteks pekerjaan sebagai pemuzik.

“Maka demi menghargai setiap momen hebat yang telah kami lalu, Exists Memento Mori adalah menifestasi perjalanan dan perjuangan kami selama ini. Kali ini bertujuh, bersama ‘kepala-kepala’ yang telah mewujudkan Exists menerusi kepercayaan masing-masing,” ujar Along.

Konsert Exists Memento Mori bakal menjadi konsert berskala besar pertama mereka sejak penganjuran reunion pada 2019.

Tiket dijual pada harga bermula RM228 hingga RM488, manakala kategori eksklusif sofa ‘couple seat’ ditawarkan pada harga RM5,000. Peminat boleh mendapatkan tiket bermula 30 April ini di laman sesawang www.ticket2u.com.my/ExistsMori.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN