PADANG RENGAS: Kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Perak bersedia membantu para petani memasarkan hasil pertanian mereka susulan cabaran yang timbul akibat krisis di Asia Barat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri telah merangka perancangan bagi membantu petani di negeri ini dalam meminimumkan kesan akibat krisis berkenaan.
Katanya, Jabatan Pertanian Negeri Perak bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memperkukuh kerjasama dalam membantu petani, penternak dan nelayan memasarkan hasil masing-masing.
“Tidak ada masalah kerana kita ada kolaborasi antara Jabatan Pertanian dan FAMA. Kita akan bantu petani-petani memasarkan hasil mereka dalam keadaan konflik semasa ini,” katanya pada program Jelajah Sejahtera Desaku@DUN Chenderoh di Dewan Arena Terbuka, Kampung Chuar Hulu, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh, Datuk Mohamad Ariff Abdul Majid.
Sementara itu, mengulas mengenai penguatkuasaan sistem reban ayam tertutup bermula 1 Januari 2027, beliau berkata, tiada alasan untuk penternak menangguhkan pelaksanaannya memandangkan tempoh yang mencukupi telah diberikan kepada mereka.
Menurut beliau, tempoh penggunaan reban ayam secara terbuka hanya dibenarkan sehingga 31 Disember 2026 sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan pada tahun hadapan.
“Kalau ada lagi reban-reban ayam terbuka selepas tempoh peralihan berakhir hujung tahun ini, maka tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini tiada sebarang bantahan diterima daripada penternak berhubung pelaksanaan tersebut.
“Kita umumkan sudah lama dan maklumkan kepada penternak ataupun pemilik-pemilik reban ini sejak tahun lepas.
“Jadi, sudah tentulah penternak-penternak ini telah bersedia untuk menaik taraf daripada reban terbuka kepada reban tertutup untuk tahun hadapan, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN










